fbpx
MOHAMAD AZLI (kiri) melayan Sani (kanan) yang datang membeli perabot sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri di Setia Jaya Temerloh.

Perabot terpakai Singapura laku keras

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEMERLOH – Barangan terpakai dari Singapura khususnya pe­ra­bot kini mendapat permintaan ‘luar biasa’ daripada orang ramai yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Faktor kualiti dan harga yang murah menyebabkan barangan terpakai berkenaan menjadi re­butan masyarakat yang terjejas pendapatan pada masa ini khususnya dalam persediaan me­nyam­but Hari Raya Aidilfitri.

Tinjauan Kosmo! di sebuah kedai perabot bundle dekat Setia Jasa di sini mendapati premis yang mempunyai pelbagai jenis barang terpakai seperti perabot, peralatan elektrik, barang hiasan dan barangan antik itu tidak putus-putus dikunjungi orang ramai.

Kualiti barang yang masih elok seperti perabot kayu dan sebagainya dilihat membuatkan ia menjadi pilihan pelanggan yang mahu mendapatkan barangan rumah mereka khususnya bagi menyerikan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pemilik Bundle Singapore TSJ, Mohd Adzly Othman berkata, sambutan yang diterima daripada orang ramai sejak awal tahun ini amat memberangsangkan me­nyebabkan dia terpaksa terus menambah barangan dari negara jiran itu.

“Dalam bulan puasa ini sudah enam kali saya mengambil barangan khususnya perabot dan barangan elektrik dari Singapura dan pelanggan sentiasa menunggu ketibaan barangan baharu.

Sebahagian perabot terpakai yang dijual oleh Mohamad Azli
di kedainya di Temerloh.

“Banyak barang perabot telah habis malah barang elektrik juga laku apabila daripada 30 biji peti ais yang saya ambil baru-baru ini hanya tinggal beberapa buah sahaja lagi,” katanya di sini semalam.

“Saya tidak ambil untung ba­nyak kerana saya faham kesusahan mereka dan ingin berkongsi kegembiraan, antaranya bara­ngan saya jual adalah set meja makan kayu dengan harga serendah RM850, set meja makan marble dan sofa berkualiti dengan harga RM1,000 ke atas,” ujarnya.

Dalam pada itu seorang pe­langgan, Sani Satari, 40, berkata, faktor harga yang murah dan barang berkualiti menyebabkan barangan terpakai menjadi pilihannya yang turut terkesan akibat pandemik Covid-19.

Dia yang bekerja sendiri ber­kata, perabot dan barangan terpakai seperti itu menjadi pilihan terbaik kerana dapat menjimatkan perbelanjaan sekeluarga da­lam keadaan pendapatan yang masih tidak menentu.

“Banyak barang yang saya beli dan saya selalu singgah di sini setiap minggu bagi lihat barang baharu sampai untuk dipilih khususnya sebagai persediaan menjelang hari raya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN