PETALING JAYA – Suami-suami yang mempunyai isteri yang mengalami masalah mati putik mengaku hidup mereka sangat ‘gersang’ dan menderita apabila bini enggan melayani kehendak seks disebabkan masalah disfungsi seksual wanita itu.
Akibat tidak tahan lagi menanggung sengsara batin, mereka terpaksa mengambil keputusan untuk menceraikan isteri yang sudah tidak mempunyai nafsu.
Di Shah Alam, Selangor, seorang kakitangan awam yang hanya mahu dikenali sebagai Ramli, 48, berkata, dia terpaksa menceraikan isterinya yang mempunyai simptom mati putik susulan keengganan wanita itu melayani keinginan seks termasuk pada malam jumaat.
Katanya, selain masalah itu, isterinya juga terlalu sibuk dengan kerjayanya sehingga menyebabkan kemesraan antara mereka semakin pudar.
“Isteri saya seorang pekerja swasta dan dia selalu pulang lewat malam. Ajakan untuk bersama selalu tidak dipenuhinya.
“Alasan utama ialah badan sudah lesu dan penat. Setiap malam perkara ini berlaku sehingga membuatkan hubungan kelamin kami menjadi tawar, seolah-olah tiada lagi istilah malam Jumaat.
Berita berkaitan: Ramai janda Selangor, Kelantan mati putik
“Saya akhirnya tak tahan lagi dan membuat keputusan bercerai dengan isteri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sepanjang perkahwinan Ramli bersama isterinya selama sembilan tahun sebelum bercerai enam tahun lalu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki.

Di Klang, Selangor, kesabaran seorang ahli perniagaan ibarat kini sudah sampai di penghujung dan mahu menceraikan isterinya yang enggan melakukan hubungan kelamin sejak tujuh tahun lalu.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Yusri, 36, berkata, dia tidak pernah meniduri isterinya berusia 33 tahun yang masih berstatus anak dara gara-gara masalah mati putik.
Dia tidak menyangka ikatan cinta yang dijalin bersama pegawai tadbir tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri.
“Apabila diajak untuk ‘bersama’, dia (isteri) memberi pelbagai alasan terutama kepenatan bekerja dan tidak mahu mengalami kesakitan akibat hubungan itu.
“Selama tempoh tujuh tahun, kami tidak pernah melakukan hubungan kelamin kerana dia seolah-olah tidak bernafsu dengan lelaki,” ujarnya.
Menurut Yusri, dia kini kerap menemui pakar kaunseling akibat sangat tertekan dengan masalah itu dan membuat keputusan untuk berkahwin lain.
“Saya tidak sanggup lagi menanggung dosa isteri yang dianggap sudah derhaka kerana tidak memberikan nafkah batin.
“Keluarga juga memandang serong kepada saya kerana masih tiada zuriat dan menganggap saya yang mandul.
“Kesabaran saya sudah tidak dapat dibendung dan amat terkilan apabila isteri juga pernah memberitahu, dia enggan sesekali melahirkan anak,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, ramai wanita di Kelantan dan Selangor menjadi janda apabila bercerai dengan suami kerana mengalami masalah mati putik yang semakin membarah dalam kalangan masyarakat jika tidak diubati.
Mati putik menjadi penyumbang utama kes perceraian kerana kajian mendapati tiga daripada 10 wanita pernah atau sedang mengalami masalah tersebut yang dikenali dengan nama saintifiknya, disfungsi seksual.














