fbpx

Sri Lanka gagal bayar hutang RM215.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk melaung slogan dan memegang sepanduk sebagai memprotes krisis ekonomi dan kerajaan Gotabaya di hadapan Pejabat Presiden di Colombo, 10 April lalu. - AFP

COLOMBO – Rakyat Sri Lanka berdepan dengan detik paling sukar di tengah-tengah krisis kewangan terburuknya sejak kemerdekaan negara pada 1948 dengan sektor-sektor utama seperti makanan, minyak petrol, perubatan dan tenaga elektrik terjejas teruk, lapor akhbar The Guardian UK.

Krisis itu semakin parah apabila kerajaan Sri Lanka mengumumkan kegagalan Colombo untuk membayar hutang luar negaranya sebanyak AS$51 bilion (RM215.7 bilion), sekali gus memberi isyarat bahawa negara Asia Selatan itu telah jatuh muflis.

Sri Lanka mempunyai kira-kira AS$6 bilion (RM25.37 bilion) hutang luar negara yang perlu dibayar bagi tahun ini, manakala rizab boleh guna negara itu telah merosot kepada rekod terendah dalam sejarah iaitu hanya AS$150 juta (RM634.2 juta).

Ketika berpuluh-puluh ribu rakyat berkumpul mengadakan tunjuk perasaan di kota raya Colombo hujung minggu lalu, seorang penduduk, Chanda Upul, 50, hanya mampu terduduk sambil tangannya memegang botol minuman ringan. Dalam hatinya turut sama melaung slogan protes seperti yang dilakukan individu lain.

Chanda merupakan salah seorang rakyat Sri Lanka yang kini berasa seperti putus harapan apabila harga minyak petrol melambung, sekali gus membuatkannya gagal membayar sewa beca, yang merupakan satu-satunya mata pencarian buat dia sekeluarga.

Kini, dia dan empat anaknya meneruskan hidup dengan memakan nasi dan air kerana sayur-sayuran dan susu amat mahal ketika ini.

“Satu-satunya perkara yang boleh kami lakukan sekarang adalah meminum racun. Saya mengundi Gota (Presiden Gotabaya Rajapaksa) kerana menyangka beliau adalah ‘singa’, namun kini saya berasakan beliau lebih teruk daripada anjing.

“Saya sayangkan negara ini, namun tidak pasti sama ada ia akan terus wujud untuk anak-anak,” katanya.

Kesan bagi krisis ekonomi Sri Lanka menjejaskan setiap penjuru sektor dan setiap pelosok negara itu.

Rumah-rumah dan kedai sering bergelap kerana bekalan elektrik terputus sehingga lapan jam setiap hari, penduduk terpaksa memasak menggunakan arang kayu selain barisan yang panjang di stesen-stesen minyak.

Peperiksaan-peperiksaan sekolah dan naskhah-naskhah akhbar juga terpaksa dihentikan disebabkan kerajaan dan syarikat media tidak mampu membeli kertas untuk mencetak.

Doktor-doktor pula mengisytiharkan krisis perubatan ketika farmasi-farmasi dan hospital-hospital kini kehabisan ubat-ubatan penting. Selain itu, pihak berkuasa turut mengeluarkan amaran mengenai krisis kebuluran yang boleh menjejaskan 22 juta penduduk ketika bekalan makanan terus berkurang.

Bagi seorang lagi penduduk, Vasi Samudra Devi, 26, dia amat takut akan nasib yang bakal menimpa negara itu.

“Ahli-ahli politik yang menerima rasuah telah merompak wang kita dan memusnahkan masa depan kita. Kita sepatutnya mendapat sesuatu yang lebih baik daripada ini,” tegasnya.

Dalam tempoh dua tahun lalu, Gotabaya meminda perlembagaan untuk menguatkan kuasa eksekutifnya selain lima ahli keluarganya turut mengisi jawatan-jawatan kanan kerajaan termasuk abangnya, Mahinda Rajapaksa yang merupakan Perdana Menteri Sri Lanka.

Kerajaan Gotabaya telah membuat banyak keputusan yang menjejaskan ekonomi negara termasuk menghapuskan langkah penjimatan, memotong cukai kepada hanya lapan peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mencetak sejumlah besar wang yang mendorong inflasi, enggan menstruktur semula hutang luar negara serta menggunakan semua rizab antarabangsa.

Akibatnya, kerajaan akhirnya mengumumkan kegagalannya untuk membayar semua hutang luar negara. 

“Sri Lanka mempunyai rekod sempurna bagi pembayaran hutang luar negara sejak kemerdekaan pada tahun 1948. Namun, beberapa krisis baru-baru ini seperti pandemik Covid-19 dan krisis di Ukraine telah menjejaskan kedudukan fiskal negara ini.

“Lewat bulan lepas, IMF memberi penilaian bahawa stok hutang Sri Lanka adalah tidak mampan. Meskipun kerajaan telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam usaha untuk kekal berdaya tahan dalam semua keberhutangan, kini jelas bahawa ia bukan lagi dasar yang boleh dipertahankan. Penstrukturan semula obligasi-obligasi ini amat diperlukan,” kata Setiausaha Perbendaharaan, Mahinda Siriwardana.

Tambah Mahinda, kerajaan telah meminta bantuan IMF untuk mewujudkan program pemulihan ekonomi dan bantuan kewangan kecemasan. 

Dalam pada itu, Gabenor Bank Negara Sri Lanka, Nandalal Weerasinghe pada Selasa lalu turut merayu rakyat Sri Lanka yang berada di luar negara agar mendermakan wang mereka dalam tukaran asing untuk membantu negara itu berdepan dengan krisis ekonomi tersebut. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI