fbpx

Kerajaan jamin peruntukan mencukupi jayakan ANMS – Tengku Zafrul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul.

KUALA PILAH – Kerajaan memberi jaminan menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dapat dijayakan dan memberi manfaat sepenuhnya kepada Keluarga Malaysia.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ANMS bertujuan untuk menjadikan budaya hidup sihat dan kelestarian persekitaran sebagai satu norma baharu bagi menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia.

Menurutnya, ANMS akan turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), terutamanya dalam mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Antara strategi yang akan dijalankan melalui RMK-12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah mempertingkatkan literasi kesihatan dan kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

“Sebagai jaminan kepada aspirasi yang mulia ini, Kerajaan komited untuk menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan ANMS dapat dijayakan dan memberi manfaat sepenuhnya kepada Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Perasmian Hemodialisis Negeri Sembilan Chinese Maternity Association (NSCMH) Dialysis Care, Cawangan Kuala Pilah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden NSCMH Dialysis Care, Datuk Seri Lee Tian Hock.

Dalam pada itu, beliau berkongsikan data yang telah dilaporkan oleh Malaysian Dialysis and Transplantation Registry iaitu hampir 50,000 pesakit menjalani dialisis dengan kebanyakannya adalah secara hemodialisis.

Menurut laporan itu juga ujarnya, jumlah pesakit dialisis baharu setahun pula adalah sekitar 8,000 orang. Punca utama kegagalan buah pinggang adalah disebabkan penyakit seperti diabetes, darah tinggi, dan gaya hidup kini.

“Sudah pasti apabila seseorang itu memerlukan rawatan dialisis, kos perbelanjaan akan meningkat. Dianggarkan kos terkini untuk setiap rawatan adalah RM170 dan setiap bulan seorang pesakit memerlukan 13 kali rawatan.

“Ini bermakna, kos sebulan adalah lebih kurang RM2,200. Saya difahamkan NSCMH Dialysis Care menawarkan caj rawatan pada kadar yang minimum.

Menurutnya, pusat berkenaan membantu pesakit-pesakit hemodialisis dengan menanggung kos rawatan melalui pemberian subsidi mengikut kategori pesakit.

“Ini sudah tentu dapat membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh pesakit.

Sementara itu, Tian Hock berkata, kos rawatan dan pengurusan keseluruhan pusat dialisis agak tinggi iaitu lebih kurang RM15 juta setahun.

Menurutnya, kos subsidi dan bayaran yang diterima pusat berkenaan adalah RM11.25 juta iaitu kos rawatan seorang pesakit dialisis diantara RM110 hingga RM150.

“Ini menyebabkan defisit sejumlah lebih kurang RM3.75 juta setahun untuk kesemua 12 cawangan NSCMH Dialysis Care dengan sejumlah 600 pesakit yang menjalani dialisis sebanyak 13 kali sebulan dan di subsidi lebih kurang RM 40 setiap kali rawatan,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, NSCMH Dialysis Care bertekad untuk terus berusaha untuk memastikan perkhidmatan rawatan dialisis berkenaan terus diterima oleh rakyat yang memerlukannya tanpa mengira latar belakang sebagai sebuah Keluarga Besar Malaysia dengan kos yang kompetitif, perkhidmatan pakar yang cekap dan mesra. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI