fbpx

Pistol angin berisi tiga peluru dijumpai bersama dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Simon (tengah) menunjukkan sepucuk pistol angin serta dadah disyaki jenis syabu yang ditemui dalam sebuah bot pada sidang akhbar hari ini.

BATU PAHAT – Cubaan sekumpulan lelaki menyeludup 12 kilogram (kg) dadah menggunakan jalan laut gagal apabila mereka dikesan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, kehadiran bot nelayan asing mencurigakan di perairan Parit Raja, Pontian telah dimaklumkan kepada APMM sebelum pasukannya bertindak menjejaki lokasi berkenaan.

“Sebuah bot APMM telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan pemantauan serta pengesanan suspek sebelum terserempak dengan bot nelayan yang dikendalikan oleh dua lelaki. Sebaik diarahkan berhenti, bot terbabit terus memecut laju dengan menuju ke benteng Parit Raja, Pontian.

“Bagaimanapun, ketika berada berhampiran dengan kawasan daratan, kedua-dua suspek melarikan diri meninggalkan bot tersadai di benteng batu dengan keadaan tenggelam di bahagian belakang,” katanya dalam sidang akhbar di Zon Maritim Batu Pahat, di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan awal ke atas bot tanpa nombor pendaftaran itu dipercayai milik nelayan asing dan pemeriksaan lanjut ke atas bot telah menemui sebuah tong ikan mengandungi satu bungkusan beg plastik berwarna merah yang berisi 12 paket hablur kaca disyaki dadah jenis syabu.

Jelasnya, selain dadah, pihaknya turut menemui sepucuk pistol angin berisi tiga butir peluru serta satu telefon bimbit dalam sebuah beg sandang.

“Rampasan dadah termasuk sebuah bot berukuran 6.4 meter panjang serta satu unit enjin model Yamaha 40 kuasa kuda dianggarkan bernilai RM628,800,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI