fbpx
Mohd. Salahuddin (lima dari kanan) menunjukkan sebahagian dadah jenis syabu dan heroin yang dirampas daipada sindiket pada sidang akhbar di IPD Setiu hari ini.

Tak sempat transit dadah RM25 juta ke Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIU – Cubaan sindiket antarabangsa menjadikan perairan daerah ini sebagai transit penghantaran dadah ke Australia berjaya dipatahkan polis di tebing Sungai Setiu di sini pada akhir bulan lalu.

Serbuan bermula pukul 9 malam, 23 April lalu berjaya menangkap dua lelaki dipercayai anggota sindiket terbabit yang sedang memunggah dadah jenis syabu dan heroin berjumlah keseluruhan kira-kira RM25 juta di lokasi kejadian.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zani @ Mohd. Salahuddin Che Ali berkata, risikan mendapati syabu seberat 480.29 kilogram (kg) dan 109.89 kg heroin dibawa masuk dari kawasan segitiga emas di sempadan Thailand mengunakan kapal dari Vietnam.

“Kapal mengangkut bekalan dadah tersebut kemudiannya memasuki perairan Kelantan seterusnya Terengganu sebelum dialihkan ke Pulau Tok Bilal di sini dengan bot laju untuk tujuan pembungkusan semula.

“Siasatan awal mendapati bot laju itu disewa oleh dua suspek terbabit kononnya untuk pakej memancing tiga hari dua malam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Setiu di sini hari ini .

Mohd. Salahuddin berkata, suspek pertama yang merupakan lelaki berusia 32 tahun telah diberkas sewaktu sedang memunggah 29 beg mengandungi dadah jenis syabu dan heroin dari bot laju berkenaan di tebing Sungai Setiu pada pukul 9 malam.

Beliau berkata, seorang lagi suspek iaitu lelaki berumur 39 tahun pula ditahan di Pulau Tok Bilal yang terletak kira-kira 500 meter dari tebing Sungai Setiu.

“Kita percaya dua jenis dadah tersebut yang mampu memenuhi permintaan 2.95 juta penagih dadah mahu diseludup masuk ke Australia dengan jalan laut,” katanya.

“Aset milik kedua-dua suspek iaitu keretaToyota Vios dan Honda Civic serta motosikal Honda EX5 selain barangan kemas, topi keledar dan wang tunai RM1,631 disyaki hasil jualan dadah bernilai keseluruhan RM46,000 turut disita,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN