SIAPA yang tidak mendambakan kehidupan rumah tangga yang aman, damai dan bahagia.
Namun, ada kalanya pasangan yang dipilih sebagai suami atau isteri tidak memberikan gambaran sebenar pada awalnya. Selepas beberapa tahun bersama, barulah mereka menunjukkan belang sebenar.
Ini yang berlaku kepada seorang isteri menerusi kolum Dari Mahkamah Syariah minggu ini yang mendapat suami yang suka berhutang termasuk dengan ah long.
Ini menyebabkan hidupnya tidak keruan selepas menerima gangguan daripada ah long tersebut. Selepas tidak tahan dengan sikap suaminya itu, akhirnya wanita itu meminta perpisahan.
————————————————————————————————————————————————-
ATAS dasar suka sama suka dan sudah lama kenal, Ayu dan Halim (bukan nama sebenar) mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Di awal usia perkahwinan mereka, semuanya indah bagaikan tidak ada apa-apa dapat memisahkan kasih antara kedua-dua pasangan tersebut.
Namun, selepas lapan tahun hidup bersama dengan menempuh badai dan taufan alam rumah tangga, ikatan kasih mereka terlerai jua, ekoran suaminya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga, selain mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Menurut Ayu, pada mulanya suaminya tidak menunjukkan ‘belang’ sebenar, namun selepas beberapa tahun bersama, akhirnya segala-galanya terbongkar.
Ceritanya, suaminya merupakan pekerja swasta bergred rendah berbanding dirinya yang mempunyai kerjaya yang lebih baik.
“Ini sedikit sebanyak menjadi alasan buat Halim untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi memberi nafkah kepada saya.
“Kebanyakan perbelanjaan rumah saya yang tanggung dari tempat tinggal, makan minum dan lain-lain lagi,” katanya.

Ujar Ayu, apa yang paling dia tidak boleh terima adalah Halim suka berhutang termasuk dengan ah long biarpun mengetahui tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik.
Katanya, disebabkan perkara itu, mereka sering bergaduh setiap kali dia membangkitkan mengenai hutang berkenaan.
“Bukan hanya dia yang dicari ah long, malah saya juga turut diganggu.
“Kerana tidak mahu pinjaman itu menjadi semakin banyak, saya mengambil keputusan untuk membayarnya dengan mengeluarkan wang simpanan.
“Saya tidak tahu ke mana wang gajinya selama ini dihabiskan. Saya rasa, gaji diterimanya jika diuruskan dengan baik, ia cukup.
“Saya juga tidak tahu ke mana dibelanjakan dengan wang yang dipinjamnya itu. Hendak dikata untuk perbelanjaan keluarga, tidak nampak pula Halim membeli apa-apa barangan dapur,” jelasnya.
Jelas Ayu lagi, sudah banyak kali dia memberi peluang kepada Halim untuk berubah, namun segala kata nasihat hanya sia-sia sahaja.
Selama ini, katanya, dia banyak bersabar dengan perangai suaminya itu kerana memikirkan anak-anak.
Kemuncak keretakan mahligai yang dibina itu adalah sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama selepas Halim diberhentikan ekoran syarikat tempat dia bekerja terpaksa mengurangkan pekerja selepas terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.
Keadaan ini menyebabkan Ayu semakin tertekan kerana suaminya sering meminjam wang daripadanya dengan alasan hilang pekerjaan dan tiada sumber pendapatan.
“Saya memintanya untuk menjaga anak kerana dapat membantu mengurangkan sedikit perbelanjaan bulanan.
Tetapi dia menolak dan memberi alasan cuba mencari kerja sampingan,” jelasnya.
Tambahnya, setelah kehilangan pekerjaan, Halim memilih untuk menjadi penghantar makanan sebagai pekerjaan sampingan, namun tidak bersungguh-sungguh dalam melakukannya, malah banyak menghabiskan masa di rumah.
“Saya seperti menanggung ‘biawak hidup’, pada hal dia adalah ketua keluarga dan harus mengetahui akan tanggungjawabnya,” kata Ayu.
Kerana tidak tahan dengan sikap suaminya itu, Ayu nekad untuk berpisah dengan Halim kerana berasakan itu adalah jalan terbaik bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.
Dia kemudian mengambil keputusan untuk keluar daripada rumah dengan membawa anak-anak bersama dan memohon fasakh di mahkamah syariah.














