fbpx

Bantu pelanggan dapatkan barangan dari United Kingdom

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS pandemik Covid-19 melanda dunia, graduan sarjana dari University of London ini yang diberhentikan kerja di sebuah syarikat teknologi kewangan di UK menjalankan khidmat pembeli peribadi.

PENULARAN pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ternyata memberi kesan yang sangat mendalam kepada setiap orang.

Situasi itu turut dirasai oleh seorang rakyat Malaysia yang baru memulakan kerja pada tahun 2020 selepas menamatkan pengajian peringkat Sarjana di Goldsmiths, University of London yang terletak di ibu kota England itu.

Fazlynn Azrul, 39, berkata, dia hanya sempat bekerja selama empat bulan bersama sebuah syarikat teknologi kewangan di Canary Wharf, London.

“Disebabkan pandemik Covid-19, syarikat terbabit terpaksa mengurangkan jumlah pekerja.

“Saya menjadi sebahagian daripada mereka yang diberhentikan,” katanya kepada Aura.

Fazlynn mengakui, dia begitu tertekan pada waktu itu kerana ingin mencari pengalaman bekerja di rantau orang selepas menamatkan pengajian.

Katanya, dalam situasi itu, dia perlu mencari jalan secepat mungkin untuk menjana pendapatan bagi menampung kehidupan di negara asing.

Ujar Fazlynn, dia kemudian berbincang dengan abangnya yang berada di Malaysia bagi menjual alat ganti kereta buatan Eropah kepada rakan-rakannya.

Selain itu jelasnya, dia turut membantu kenalan rapat di Malaysia dan Indonesia untuk mendapatkan barangan dari United Kingdom (UK) yang mereka inginkan.

Dari situ, Fazlynn melihat peluang untuk menjalankan perkhidmatan pembeli peribadi eksklusif ataupun exclusive personal shopper.

FAZLYNN melihat peluang untuk menjalankan perkhidmatan
pembeli peribadi eksklusif sebagai salah satu cara menjana pendapatan.

Perkhidmatannya dikatakan eksklusif kerana barangan dari UK dan negara Eropah lain yang dibeli boleh sampai di depan pintu rumah pelanggan dalam tempoh singkat.

“Saya memberi peluang kepada pelanggan melihat barangan yang dikehendaki terlebih dahulu di laman- laman web tertentu.

“Selepas mereka membuat keputusan, saya akan mengemukakan sebut harga barangan tersebut dan membantu mereka untuk membelinya,” jelasnya.

Tambah Fazlynn, barangan itu kemudian akan sampai di rumahnya di London, sebelum Fazlynn membungkusnya semula untuk dihantar ke alamat pelanggan di Malaysia melalui khidmat kurier.

Dia akan memastikan barangan dibungkus dengan baik, terutama pinggan mangkuk dan barangan mudah pecah supaya ia sampai kepada pelanggan dalam keadaan baik.

Kata Fazlynn, antara barangan yang sering mendapat permintaan pelanggan termasuklah beg tangan, minyak wangi, pinggan mangkuk, pakaian dan lain-lain.

SET cawan klasik antara barangan yang sering ditempah oleh pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan yang menggunakan khidmat saya adalah mereka yang sebelum ini sering berkunjung ke UK. Disebabkan pandemik Covid-19, mereka tidak boleh berbuat demikian. Ada juga yang merupakan ahli perniagaan ataupun individu yang sangat sibuk.

“Jadi, mereka menggunakan khidmat saya bagi mendapatkan barangan yang diinginkan dari UK dengan mudah,” ujarnya.

Selain itu, di laman Instagram @bits.LDN miliknya, Fazlynn juga sering berkongsi link laman web yang menawarkan potongan harga barangan.

Jelas Fazlynn, pelanggan yang menggunakan perkhidmatannya bukan hanya penduduk di Malaysia, malah dari Singapura, Brunei dan Indonesia.

Ada juga rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara seperti di Kuwait, Arab Saudi dan Qatar yang turut menggunakan perkhidmatannya sebagai pembeli peribadi eksklusif.

Kongsinya, pendapatan diperolehnya boleh dikatakan cukup memuaskan asalkan dia kerap mempromosi di laman Instagramnya.

“Ketika musim perayaan, pendapatan yang saya peroleh selalunya lebih daripada biasa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI