fbpx

‘Koma’ akibat sakit misteri, DJ Lin tiada dendam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DJ LIN

PETALING JAYA – Pernah melalui detik getir sembilan hari bertarung nyawa akibat penyakit misteri, DJ Lin atau nama sebenarnya Roslinda Abdul Majid tetap berlapang dada memaafkan individu yang cuba mengenakan sihir kepadanya.

Kata penyampai radio itu, pesanan ibu tercinta supaya sentiasa memberi kemaafan selain kehadiran Ramadan bulan penuh barakah menguatkan lagi semangat untuk berlapang dada menempuh ujian.

“Sebenarnya saya kerap keluar masuk hospital sejak beberapa tahun lalu tetapi paling teruk adalah pada 2021 apabila sembilan hari saya terlantar di wad ICU (Unit Rawatan Rapi) tanpa dapat dikenalpasti puncanya.

“Saya merasakan nyawa sudah berada di hujung tanduk apabila boleh dikatakan saya sudah koma hingga orang sekeliling yakin maut bakal menjemput melihatkan kondisi saya.

“Namun memikirkan saya punya ibu, dua anak dan mereka yang sentiasa mendoakan kesejahteraan diri, saya lawan segala kesakitan supaya dapat kembali kuat untuk terus bangkit.

“Emak pun selalu nasihat biarlah kita memaafkan walau orang ‘beri’ macam-macam kerana kita ada Allah. Moga individu berkenaan juga berubah ke arah kebaikan,” luahnya kepada K! Online.

Lebih dua dekad mengukuhkan nama di dunia penyiaran radio, hakikatnya di sebalik kemanisan dan kemasyhuran dia mengakui tetap terkilan apabila ada individu yang masih mengamalkan perkara khurafat demi kepuasan diri.

Katanya, selepas bertahun kerap sakit, lemah badan, bisa tulang hingga nyaris mahu berhenti kerja mendorongnya membuat pendedahan sebagai peringatan supaya setiap insan seharusnya punya empati terhadap orang lain.

Enggan menuding jari atau meneka sesuatu yang tidak pasti, DJ Lin, 47, akui jauh di sudut hati dia hanya mohon diberikan kesembuhan untuk berpeluang membesarkan anak-anak dan menjaga bonda tersayang.

“Cukup sekadar saya katakan badan saya seperti dihancurkan. Sakit sukar diluahkan, namun punca sebenar tidak dapat ketemui sedangkan mengikut diagnosis segala-galanya okay.

“Saya berserah saja kepada Allah kerana Dia sebaik-baik perancang. Inilah situasi di sebalik kejayaan saya selama 23 tahun dalam bidang penyiaran radio yang amat saya cintai.

“Alhamdulillah saya masih mampu bangun dan melaksanakan tanggungjawab menguruskan Suria FM serta bersiaran dalam segmen Suria Cinta. Ini juga ‘ubat’ yang membuatkan saya terus bertahan.

“Dalam kehidupan ini siapa yang tak berdepan dugaan? Cuma kita fokus saja kepada kehidupan kita dan terus sebarkan kasih sayang. Biarpun saya kerap menerima ‘alamat’ dalam mimpi didatangi individu sama, saya harap dia bukan seperti disangkakan,” Pengurus Besar Suria FM itu.

Enggan menyerah kalah, DJ Lin meneruskan tugasan serta melaksanakan amanah menguruskan Suria FM seperti biasa, sekali gus membuktikan dirinya kuat. Terbaharu, dia diiktiraf dalam Women of Excellence Awards 2021/22 anjuran majalah The CEO.

Selain anugerah Penyampai Radio Paling Berpengaruh Di Malaysia ini, sepanjang 23 tahun di arena penyiaran, anak jati Johor itu sudah meraih 10 anugerah yang melengkapkan portfolionya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI