fbpx

Anggota polis ditempatkan di bazar Ramadan, pastikan pengunjung, peniaga ikut SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NANDA Maarof (tengah) beramah mesra dengan pengunjung ketika mengadakan pemantauan SOP di bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban hari ini.- Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN – Anggota polis akan ditempatkan di beberapa lokasi bazar Ramadan di daerah ini bagi mengadakan pemantauan dalam memastikan pengunjung dan peniaga sentisa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, pemantauan yang berterusan akan dijalankan terutama bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di satu-satu lokasi.

“Sepanjang bulan puasa ini, anggota polis turut akan berada di bazar-bazar Ramada bagi memastikan SOP dapat dipatuhi.

“Bagaimanapun, hasil pemantauan hari ini, rata-rata peniaga dan orang ramai di bazar Ramadan mengikut SOP yang ditetapkan termasuk memakai pelitup muka, mematuhi penjarakan fizikal serta tidak berkumpul di satu-satu tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pemantauan SOP di bazar Ramadan Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nanda berharap ibu bapa yang membawa anak-anak kecil ke bazar Ramadan agar dapat memastikan anak mereka juga mematuhi SOP ditetapkan.

“Tiada masalah untuk membawa kanak-kanak namun perlu memastikan mereka juga mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Walaupun sudah masuk ke fasa peralihan endemik dan keadaan semakin terkawal, namun wabak Covid-19 tidak dapat dilihat dan orang ramai perlu ada rasa tanggungjawab untuk mencegah penularan wabak ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI