PETALING JAYA – Beberapa kawasan di empat buah negeri akan mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga pukul 9 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, cuaca tidak menentu itu akan melanda seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya, manakala beberapa kawasan di negeri Pahang, Selangor serta Sabah.
“Bagi negeri Pahang antara kawasan yang terjejas melibatkan di kawasan Lipis sahaja setakat ini.
“Beralih ke negeri Selangor, antara kawasan yang terlibat ialah di Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang,” katanya di sini hari ini.
Tambah MetMalaysia, kawasan terjejas di Sabah pula di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran, serta Sandakan).
Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE














