TAIPING – Seorang lelaki warga emas maut apabila kereta jenis Proton Iswara dipandunya merempuh belakang treler di Kilometer (KM) 304.4 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat sini.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.04 petang.
Katanya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu.
“Mangsa, Ng Bock Hwa, 69, tersepit pada tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat menggunakan peralatan khas.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis manakala operasi tamat sepenuhnya pada pukul 3.20 petang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














