fbpx

Ramai berkongsi detik pulang ke tanah air, syukur bertemu keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video memaparkan situasi ramai rakyat Malaysia menantikan detik pembukaan semula Tambak Johor tepat pada pukul 12 tengah malam tadi.

PETALING JAYA – Ribuan rakyat Malaysia menangis, gembira dan sebak apabila pintu sempadan negara mula di buka buat mereka semalam selepas penantian selama hampir dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Tinjauan Kosmo! di media sosial sejak malam semalam mendapati pelbagai rakaman dan video dikongsikan oleh ramai rakyat Malaysia terutamanya yang berada di seberang tambak kerana menantikan detik pembukaan semula Tambak Johor tepat pada pukul 12 tengah malam tadi.

Menerusi beberapa perkongsian oleh pengguna Facebook, memaparkan suasana orang ramai sedang berjalan kaki daripada arah Kompleks Kastam dan Imigresen (CIQ) Singapura menuju ke Malaysia, serta terdapat juga yang menaiki kenderaan masing-masing untuk pulang.

Sementara itu, ada pengguna lain turut merakamkan perjalanan mereka menempuh kesesakan jalan raya dari Singapura sambil mendengar lagu raya seolah-olah menggambarkan perasaan terlalu gembira untuk kembali bertemu keluarga di Malaysia.

Dalam pada itu, Syazana Yazid meluahkan rasa sebak dan syukur apabila akhirnya kerajaan membenarkan sempadan negara dibuka semula selari dengan peralihan negara ke fasa endemik mulai hari ini.

“Syukur, akhirnya bertemu semula dengan keluarga di Malaysia, hampir dua tahun tahan rasa sakit rindu pada umi dan abah serta adik-adik, hanya Allah sahaja tahu perasaan gembira aku ketika ini,” tulisnya di Facebook hari ini.

Seorang pengguna Twitter, Soraya Laila Nuar berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan dan semua pihak terlibat dalam menjayakan pembukaan sempadan negara ini.

“Terima kasih kerajaan, terima kasih semua, terima kasih bagi kami peluang balik semula ke negara asal, terima kasih tunaikan impian kami untuk sambut Ramadan di Malaysia dengan keluarga. Syukur,” ciapnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong menerusi kenyataan bersama memaklumkan, kedua-dua negara bersetuju untuk membuka sepenuhnya sempadan darat bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi mulai 1 April.

Malaysia dan Singapura juga membenarkan pengembara yang telah lengkap vaksinasi, untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian Covid-19 temasuklah sebelum pelepasan dan semasa ketibaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI