PETALING JAYA – Enggan dikongkong menjadi antara punca golongan muda tidak mahu bekerja makan gaji walaupun ditawarkan upah yang lumayan dan berstatus pekerja tetap.
Selain mahu ‘bebas’, ada dalam kalangan generasi muda selesa bergerak sendiri kerana dianggap kurang tekanan berbanding mempunyai majikan.
Muhammad Hafizuddin Othman, 26, berkata, dia selesa mencari pendapatan dengan membantu rakannya menyelenggara paip.
“Kerja makan gaji sama ada berstatus tetap atau kontrak memerlukan komitmen dari segi masa dan tenaga selain tekanan. Apabila bekerja sendiri, saya selesa menentukan waktu bekerja.
“Saya bebas mengatur kerja dan mempunyai masa untuk melakukan aktiviti peribadi,” katanya kepada Kosmo!.
Muhammad Hafizuddin yang mempunyai sijil kimpalan daripada sebuah pusat kemahiran memberitahu, sebelum ini, dia pernah bekerja di kedai kimpalan, namun hanya bertahan setahun kerana tidak tahan dengan tekanan disebabkan perlu bekerja lebih masa bagi menyiapkan pesanan pelanggan.
Bagi Mohd. Razif Hashim, 26, pula, dia memilih kerjaya sebagai penghantar makanan kerana jadual kerja yang fleksibel tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.
“Jika bekerja sebagai pembantu kedai makan sekalipun kita kena terima arahan dan terikat dengan jadual kerja.
“Saya sedar bekerja makan gaji mempunyai jaminan masa depan, namun bagi kami walaupun gaji sekadar cukup makan, yang penting ada masa untuk diri sendiri,” katanya.
Berita berkaitan: Gaji RM4,000 gagal pikat orang muda
Seorang lepasan universiti, Fatihah Abu Bakar, 25, mengakui faktor memilih kerja yang sesuai dengan kelayakan dan kurang tekanan menjadi punca dia sukar mendapat pekerjaan yang diinginkan.
“Sudah hampir setahun saya cari kerja (sesuai dengan kelayakan ijazah) masih belum berhasil.
“Sebelum ini, saya pernah bekerja di kedai makan tetapi berhenti sebab ia memenatkan. Ibu bapa juga risau kerana saya pulang lewat ke rumah,” katanya.
Gadis itu pernah diajak rakannya bekerja di sebuah kilang dengan tawaran gaji lumayan tetapi terpaksa menolak kerana memenatkan selain faktor tekanan.
“Tidak berbaloi bergaji besar tetapi diri sendiri tertekan dan tiada masa untuk berseronok,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan ramai majikan dalam industri makanan, peruncitan, perkhidmatan dan peladangan pening kepala memikirkan cara untuk mendapatkan tenaga pekerja muda.
Walaupun mereka menawarkan gaji bulanan RM1,200 hingga RM4,000, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pertubuhan Keselamatan Sosial serta pemberian bonus, namun semua itu gagal memikat hati golongan belia.
Seribu satu alasan diberikan termasuk badan letih kerana bekerja lapan jam sehari dan terikat dengan jadual.














