fbpx

Gadis Kampus: Jiwa kental Ayu setanding lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENYUKAI sesuatu yang lasak, Ayu mengimpikan kerjaya sebagai seorang pengimpal sebaik menamatkan pengajian kelak.

TIDAK seperti dahulu, wanita hari ini mampu menceburi apa sahaja bidang dan berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki.

Buktinya, kebanyakan bidang yang dahulunya dimonopoli oleh golongan lelaki kini diisi kaum Hawa.

Biarpun berperwatakan lembut dengan raut wajah yang ayu persis model, namun siapa sangka pemilik nama Shazrin Irwayu Saruddin ini mempunyai jiwa yang lasak dan begitu meminati dunia yang sering dimonopoli oleh lelaki.

Tidak berselindung apatah lagi malu, gadis ini menanam impian untuk menjadi seorang pengimpal mahupun jurutera satu hari nanti.

“Saya kini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal yang banyak mempelajari tentang kimpalan.

“Sebaik menamatkan pengajian nanti, insya-Allah saya akan mencari pekerjaan dalam bidang yang saya minati.

“Tetapi jika diberikan rezeki untuk saya bergelar seorang model, saya akan merebut peluang tersebut kerana itu merupakan salah satu impian sejak kecil,” katanya.

Berkongsi kepada K2, menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu lagi, dia sengaja memilih jurusan tersebut kerana mahu mempersiapkan diri dari segi fizikal, mental dan emosi bagi mendepani cabaran pada masa akan datang.

Begitupun, menurut gadis yang lebih mesra dipanggil Ayu ini, pada awalnya dia begitu meminati jurusan kejuruteraan penyelenggaraan pesawat memandangkan sejak kecil lagi dia begitu obses dengan kapal terbang dan dunia perkapalan.

Tidak patah semangat, dia bagaimanapun cuba merealisasikan impian dengan mengambil peluang yang datang dan belajar bersungguh-sungguh biarpun rezekinya menyambung pengajian di peringkat kejuruteraan mekanikal.

Katanya yang merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Mekanikal di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak, dia kini sedang menjalani latihan praktikal sebelum menamatkan pengajian di peringkat Diploma.

Biarpun dia merupakan satu-satunya wanita yang ditempatkan di bahagian tersebut, namun itu tidak menghalang dirinya daripada memberikan yang terbaik sepanjang menjalani sesi latihan praktikal.

Bahkan dia gembira kerana sering menerima tunjuk ajar daripada insan di sekelilingnya.

“Sebelum saya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan, saya sedia maklum ia dimonopoli oleh lelaki.

“Justeru, saya sudah meletakkan mindset tersebut dan mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal sejak awal lagi.

“Sebagai seorang wanita, pastinya saya berhadapan dengan kesukaran yang mana kudrat yang terhad yang mana tidak kesemua peralatan besi boleh diangkat sendiri dan ia sangat memenatkan.

“Malahan, saya juga pernah luka ketika menjalankan kerja-kerja kimpalan,” kongsinya.

Pernah menangis kerana bimbang tidak dapat membawa jurusan yang diambil dengan baik, gadis ini bagaimanapun berjaya membuktikan tiada apa yang mampu menghalangnya daripada terus melakar kejayaan.

Mahu membuang mentaliti dan membuktikan wanita tidak lemah seperti disangka sesetengah pihak, Ayu menegaskan, tidak salah jika kaum Hawa mempunyai sifat agak keras asalkan mengekalkan sifat lembut yang menjadi fitrah mereka selama ini.

Bercakap mengenai kaum Hawa lebih lasak dan boleh melakukan apa yang dilakukan lelaki, jelas Ayu, ia memang wajar terutamanya pada zaman sekarang yang mana wanita sering menjadi mangsa penindasan lelaki.

“Kita perlu buktikan kepada masyarakat bahawa kaum wanita tidak selemah seperti disangka dan mampu hidup berdikari melakukan apa sahaja,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN