fbpx

Akaun bank individu terbabit geng penipuan disenarai hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Individu yang sengaja membenarkan akaun bank milik mereka dipergunakan sindiket penipuan untuk keldai akaun akan disenaraihitamkan dan akaun mereka berdepan tindakan pembekuan oleh pihak bank.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, langkah berkenaan akan diambil jika terbukti individu itu terlibat jenayah tersebut.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mereka kerana bersekongkol dan akan cadangkan kes berkenaan untuk dituduh di mahkamah.

“Tindakan yang diambil ini akan menyebabkan individu itu sukar untuk membuka akaun lain pada masa akan datang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurutnya, soal siasat ke atas mereka yang ditahan me­ngaku menjual akaun sendiri kepada sindiket akibat tamak dan demi pulangan wang tunai secara mudah.

“Berdasarkan siasatan, mereka menikmati ‘untung atas angin’ apabila dibayar sindiket antara RM2,000 hingga RM3,000.

“Ada yang dibayar sekali gus dan ada juga mengikut jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun. Contohnya, satu peratus daripada RM100,000 yang dimasukkan, mereka boleh dapat RM1,000,” ujarnya.

Jelas beliau, tindakan tidak bertanggungjawab yang membenarkan akaun sendiri digunakan sebagai keldai akaun menyebabkan sindiket-sindiket penipuan yang ada sekarang semakin besar kepala dan berleluasa.

“Saya akui terdapat juga sebahagian individu yang ditahan mengaku tidak menyedari akaun mereka telah diperguna sindiket.

“Namun begitu, dalam kea­daan mana sekalipun orang ramai mesti bertanggungjawab terhadap akaun masing-masing, termasuklah mereka yang menyerahkan akaun bank kepada sindiket pinjaman wang tidak berlesen ah long untuk tujuan melunaskan hutang.

“Mereka tidak boleh lepas ta­ngan kerana akaun dan penama tetap atas namanya dan sudah tentu individu berkenaan tidak boleh lari daripada undang-undang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI