fbpx

Nikki Palikat ikat tangan, berbalut demi jayakan lagu Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Diberi penghormatan merakamkan lagu yang sepatutnya dinyanyikan Allahyarham Siti Sarah Raissuddin berjudul Sudah, penyanyi Nikki Palikat menyifatkan pemilihan tersebut merupakan satu tanggungjawab besarnya.

Nikki atau nama sebenarnya, Nicolette Louisa Palikat berkata, merakamkan lagu ciptaan sepenuhnya Naim Daniel itu bukan satu tugas yang mudah kerana demi mendalami maksud dan mesej, dia terpaksa ‘mengikat’ tangan dan berbalut dalam comforter (selimut tebal).

“Lagu Sudah ini lebih daripada sekadar nak ‘tayang’ vokal. Sebagai seorang penyanyi, tugas saya adalah untuk menyampaikan cerita melalui penghayatan emosi.

“Sebelum masuk studio rakaman, saya banyak buat eksperimen. Saya kan anak teater. Jadi, saya sampai ikat tangan dan siap bungkus diri dalam comforter sambil menyanyi nak tengok hasilnya bagaimana.

“Menyanyi bukan sekadar melontarkan lirik dan disebabkan itu, saya buat semua itu nak dapatkan ‘feel’ yang tepat untuk lagu yang dirakamkan,” katanya yang ditemui Kosmo! Online pada majlis pelancaran single Sudah di ibu negara semalam.

Nikki, 37, tidak menafikan berasa gerun apabila mengetahui bahawa Sudah merupakan karya yang diharapkan Siti Sarah untuk singgah ke Anugerah Juara Lagu (AJL)

“Saya dapat lagu ini ketika peringkat awal Gegar Vaganza musim kelapan (GV8). Pihak Indigital datang ‘approach’ (mendekati saya).

“Saya macam gerun kerana lagu ini yang arwah target untuk masuk AJL dan tambahan pula, Naim Daniel yang tulis dan kita semua sedia maklum, Naim bukan jenis komposer senang-senang bagi lagu pada orang.

“Tapi, saya percaya Sarah mahukan saya nyanyi lagu ini dengan interpretasi dan gaya saya sendiri. Ini lagu terakhir yang Sarah nyanyikan walaupun hanya dalam bentuk demo. Tiada rezeki, tinggal nak masuk studio dan vokal sahaja.

“Shuib pun merestui (saya nyanyi) dan ini adalah tanggungjawab besar dan akan saya lunaskan sebagai mungkin,” ujar Nikki.

Sekadar info, Siti Sarah meninggal dunia pada usia 36 tahun disebabkan komplikasi Covid-19 Ogos tahun lalu namun sempat melahirkan bayi lelaki, yang merupakan anak keempatnya, Ayash Affan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI