fbpx

Sedia cipta sejarah sebelum bersara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI tekad memasang impian untuk membutirkan pingat emas Olimpik pertama buat negara pada Paris 2024.

GELARAN Olahragawan yang diraih jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang pada majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2019/2020 bakal menjadi motivasi terbaik buat atlet Terengganu itu menghadapi dua kejohanan besar tahun ini.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 tersebut mengakui, dia giat melakukan persiapan untuk mencatat sejarah buat negara menjelang pe­nyertaan terakhirnya pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Sukan Asia Hangzhou, China selepas mengumumkan persaraannya selepas berakhir Sukan Olimpik Paris 2024 nanti.

“Saya ingin ucapkan terima kasih atas penghargaan yang diberikan, sekali gus menjadi sumber motivasi untuk mencapai kejayaan pada masa hadapan.

“Syukur kepada Allah, saya sekali lagi memenangi anugerah ini. Pertamanya, saya ingin memohon maaf kepada semua kerana tidak dapat terbang pulang bagi menghadiri majlis gilang gemilang ini.

“Untuk pengetahuan semua, saya giat menjalani latihan persiapan ke Sukan Komanwel Birmingham yang hanya berbaki 128 hari lagi dan Sukan Asia 172 hari.

“Insya-Allah, perancangan saya adalah untuk bersara menjelang Sukan Olimpik Paris 2024. Jadi, Sukan komanwel dan Sukan Asia merupakan penampilan terakhir. Justeru, saya ingin memberikan sepenuh perhatian untuk beraksi cemerlang dan sekali lagi mencipta sejarah buat sukan tanah air kita,” katanya.

Azizulhasni telah dianuge­rahkan sebagai Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat selepas memenanginya 2009, 2010 dan 2017, sekali gus menyamai pencapaian dua legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei.

Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket ­Rocketman turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan sepanjang kerjayanya.

Antaranya Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Majlis Sukan Negeri Terengganu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI