SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berjaya menyantuni dan membimbing seramai 200 individu yang terlibat dalam kegiatan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) sejak 2012.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, bantuan itu dilakukan selepas mereka tampil kepada pihak MAIS menerusi Bahagian Pemulihan Riqab untuk mendapatkan bimbingan dan kembali kepada kehidupan asal.
“Mungkin terdapat dalam kalangan mereka yang segan apabila pergi ke masjid atau surau bersama masyarakat.
“Menerusi kewujudan komuniti yang membantu, ia sedikit sebanyak mendorong mereka untuk mendalami ilmu agama dengan bimbingan ustaz yang dilantik pihak MAIS,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, empat fasa pendekatan modul pemulihan LGBT digunakan iaitu program temu mesra dengan komuniti, ziarah komuniti dan penghayatan, bimbingan kelas-kelas agama secara berjadual, rawatan dan pemulihan serta bantuan dan kebajikan.
Abdul Aziz memberitahu, hak asasi manusia atau hak kebebasan individu bagi sesetengah pihak bukanlah tiket bagi seseorang individu tersebut boleh melakukan kebebasan.
“Islam telah mengajar kita bahawa setiap kebebasan yang kita laksanakan perlu dibatasi dengan hukum syarak.
“Begitu juga dengan golongan transgender ini, mereka juga mempunyai hak selaku manusia sebagaimana yang lain, namun hak mereka juga perlulah dibatasi dengan hukum syarak,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan mengenai peratusan pasangan bercerai kerana suami gay telah menunjukkan peningkatan pada tahun ini apabila 40 kes telah direkodkan hanya pada suku pertama 2022.














