fbpx
Tangkap layar video seorang wanita berkongsi kisahnya yang terpaksa menjalani pembedahan membuang rahim disebabkan masalah fibroid.

Pengantin baharu pasrah doktor saran buang rahim akibat fibroid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Setiap pasangan suami isteri sudah pasti menginginkan cahaya mata sebagai pelengkap kasih antara mereka dalam kehidupan berumah tangga.

Namun begitu, tidak semua pasangan bernasib baik untuk memiliki zuriat sendiri sama seperti kisah seorang pengguna TikTok yang berkongsi tentang masalah penyakitnya sehingga doktor menyarankan agar rahimnya perlu dibuang.

Menerusi akaun @reenaSuhaimi, wanita tersebut seperti tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh doktor setelah pemeriksaan terhadapnya dilakukan dan mendapati dia mengalami masalah fibroid dan terpaksa melakukan pembedahan membuang rahim.

Meskipun baru sahaja mendirikan rumah tangga bersama pilihan hatinya, wanita berkenaan akur dengan saranan tersebut dan berharap agar suaminya setia menerima dan menjaganya walaupun dia sudah tidak mampu untuk melahirkan anak.

“Kami baru sahaja bernikah. Tiba-tiba doktor kata aku kena buang rahim aku.

“Dugaan perkahwinan, tempuhi bersama,” katanya.

Jelasnya, sebelum ini dia sering mengalami pendarahan yang teruk dan berketul-ketul sehingga menyebabkan masalah kekurangan sel darah merah di dalam badan.

“Darah selalu keluar tak henti-henti sehingga tekanan darah dalam badan rendah dan darah keluar berketul-ketul sampai anemia, jadi susah nak bekerja dan beribadah sehingga rasa tak larat setiap hari,” luahnya.

Dalam pada itu, dia juga bercerita pernah melakukan ‘Dilation and curettage’, atau nama singkatannya prosedur D&C yang merupakan proses untuk membuang tisu dalam rahim, namun kaedah tersebut tidak memberi sebarang kesan terhadap penyakitnya.

Katanya, pembedahan untuk membuang rahimnya akan berlangsung pada hari ini dan berharap agar dia dan suaminya kuat menempuh dugaan ini bersama-sama.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai mendoakan agar dia dan suami terus kuat dan ada juga yang berkongsi pengalaman menghadapi situasi sama sepertinya.

“Semoga kuat puan dan suami, dugaan pengantin baharu, mungkin Allah akan gantikan kebahagiaan dan rezeki yang lain,” kata seorang pengguna.

“Saya pun pernah buang rahim tahun lepas sebab ada nanah, saya koma 18 hari di unit ICU, doktor pernah kata tiada harapan, tapi Alhamdulillah, kuasa Allah sihatkan saya semula, puan pun kena kuat dan yakin pada kuasa Allah,” komen Qhuzaida. – KOSMO! ONLINE

POPULAR