fbpx

Sindiket tipu tawaran kerja sasar warga Indonesia tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara barangan yang dirampas di sebuah unit kondominium sekitar Kajang yang dijadikan sebagai pusat panggilan.

KAJANG – Kegiatan sekumpulan individu warga tempatan menjadikan sebuah unit kondominium di sekitar Kajang sebagai pusat panggilan untuk menipu tawaran kerja akhirnya terbongkar selepas diserbu pihak berkuasa semalam.

Serbuan pada pukul 3.45 petang tersebut telah dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, kesemua tujuh warga tempatan yang ditahan berusia dalam lingkungan 23 hingga 34 tahun dan baru beroperasi kurang seminggu.

“Siasatan awal mendapati, pusat panggilan terbabit disyaki menjalankan kegiatan penipuan tawaran kerja yang menyasarkan mangsa dari Indonesia secara dalam talian menggunakan platform e-dagang.

“Polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai untuk kegiatan penipuan seperti 20 unit telefon bimbit pelbagai jenama dan tujuh komputer riba,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, permohonan reman ke atas semua suspek tersebut telah dibuat di hadapan Majistret Mahkamah Kajang dan dibenarkan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 17 Mac 2022 bagi membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan pusat panggilan ini boleh menghubungi talian hotline IPD Kajang di talian 03-89114242. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI