fbpx

Nama Siti Sarah diabadikan pada dewan rumah anak yatim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAMA Siti Sarah diabadikan sebagai nama ruang solat dan dewan serbaguna rumah anak yatim tersebut.

PETALING JAYA – Harimau mati meninggalkan belang, manusia pergi pula meninggalkan nama.

Peribahasa tersebut sesuai menggambarkan penghargaan yang diberikan kepada Allahyarham Siti Sarah apabila namanya diabadikan di sebuah ruang solat dan dewan sebuah rumah anak yatim Baitul Sakinah As-Shariff, Pelabuhan Klang.

Suami Allahyarham yang juga pelawak, Shuib memberitahu Siti Sarah pernah menghulurkan sumbangan bagi pembinaan ruang solat dan dewan serbaguna di rumah anak yatim tersebut sekitar Julai tahun lalu.

“Hari ini 12 Mac (semalam), kali kedua datang ke Baitul Sakinah As-Shariff tetapi bersama mentua dan anak-anak. Kali pertama datang ke sini pada 25 Julai 2021 bersama arwah isteri tercinta.

“Arwah terlalu seronok bertemu anak-anak yatim di sini. Kemudian dia diberi peluang untuk memberi sumbangan bagi menyiapkan mussolla (ruang solat) dan dewan serbaguna yang ketika itu baru 70 peratus siap,” katanya dalam satu entri Instagram.

Dalam hantaran Instagram, Shuib dilihat hadir ke rumah anak yatim tersebut bersama tiga anaknya dan turut ditemani ibu bapa mentuanya, Raisuddin Hamzah dan Siti Fatimah Suberi.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat ruang solat dan dewan tersebut tidak kesampaian selepas dia disahan meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu.

“Arwah nak sangat menyumbang sebab mahu lihat ruang solat dan dewan ini untuk kegunaan anak yatim serta orang Kampung berhampiran tetapi hari ini, bila semuanya sudah siap, arwah sudah pergi selama-lamanya.

“Tetapi rezeki arwah, dia diberi penghormatan apabila nama ruang solat dan dewan ini meletakkan nama Sarah serta digabungkan dengan dua nama lain iaitu Musolla dan Dewan Serbaguna Sarah Muslim al-Attas,” katanya lagi.

Pemilik nama penuh Shahmira Muhamad, 37, itu turut berterima kasih kepada arwah isterinya kerana telah mengajar erti sedekah yang sememangnya memiliki 1,001 ganjaran.

“Syukur alhamdulillah. Terima kasih kerana mengajar saya tentang sedekah dan yakin dengannya. Semoga pahala terus mengalir untuk awak.

“Insya-Allah akan selalu bawa anak-anak ke sini. Ini lokasi terakhir kita dating sayang. Semoga ada oengajaran yang boleh kita ambil,”” katanya lagi.

Sebagai info, Sarah meninggal dunia akibat Covid-19 pada 9 Ogos tahun lalu dan sempat melahirkan anak bongsunya, Ayash Affan pada 6 Ogos secara pembedahan selepas ditidurkan.

Hasil perkahwinan, pasangan ini dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, dan Ariq Matin, 7 dan Ayash. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI