fbpx
AMRAN tidak menyangka mi goreng yang dimakannya bersama rakan-rakan di sebuah gerai di kawasan hutan sudah basi. – ILUSTRASI SHAH HASAN

Makanan lazat gerai bunian rupanya basi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAMA ini, ramai antara kita mendengar cerita mengenai segelintir orang yang terkena selepas dikatakan makan di gerai pada waktu malam yang sebenarnya tidak wujud pada sebelah siangnya.

Ramai yang skeptikal dengan cerita sebegini biaropun ada yang mengatakan ia benar berlaku.

Inilah yang terjadi kepada seorang pelajar di sebuah universiti di Pulau Pinang 15 tahun lalu yang mengalami sendiri pengalaman berhenti dan makan di sebuah gerai bunian di tepi jalan di pinggir hutan di kawasan Kuala Pegang, Baling, Kedah.
—————————————————————————————————————————————————————
PENGALAMAN berdepan perkara misteri sememangnya satu perkara yang sukar untuk dilupakan oleh sesiapa sahaja, apatah lagi jika ia kerap menghantui fikiran.

Perkara itu diakui oleh Amran (bukan nama sebenar) yang pernah mengalami sendiri perkara mistik suatu ketika dahulu.

Jelasnya, pengalaman menakutkan itu berlaku kira-kira 15 tahun lalu ketika dia menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi di Pulau Pinang.

Ceritanya, kejadian tersebut berlaku ketika dia bersama beberapa orang rakan sekuliah berkunjung ke Pusat Rekreasi Air Panas Ulu Legong yang terletak di Baling, Kedah.

“Disebabkan saya dan beberapa rakan mempunyai motosikal, kami kerap berkunjung ke beberapa lokasi menarik sekitar Pulau Pinang dan Kedah terutama pada hujung minggu.

“Salah satu lokasi pilihan adalah kolam air panas di Ulu Legong, Baling,” katanya.

Jelas Amran, sebaik tiba hari yang dirancang, mereka bertolak dari rumah sewa kira-kira pukul 9 malam memandangkan kolam air panas itu paling sesuai dikunjungi pada waktu malam.

Disebabkan jarak antara kampus universiti itu ke pusat rekreasi berkenaan kira-kira 100 kilometer, mereka hanya tiba kira-kira pukul 11 malam selepas mengharungi dua jam perjalanan.

“Sebelum bertolak, kebanyakan daripada kami sudah makan. Jadi, sepanjang perjalanan memang kami tidak berhenti di mana-mana lokasi memandangkan kesemuanya terlalu teruja untuk mandi di kolam air panas itu.

“Sebaik tiba, kami terus mencari tempat meletakkan beg pakaian dan terus berendam menikmati kehangatan air kolam,” jelasnya.

Cerita Amran lagi, setelah hampir empat jam menghabiskan masa di situ, mereka kemudian mengambil keputusan untuk pulang memandangkan jumlah pengunjung juga semakin berkurangan.

Sebelum bertolak pulang, ada antara mereka yang mencadangkan untuk singgah di mana-mana kedai makan untuk mengisi perut yang mula kosong.

Disebabkan ketika itu sudah menunjukkan pukul 3 pagi, kebanyakan kedai makan dan restoran yang ada di sekitar pekan Baling dan beberapa lokasi lain di tepi jalan sudah tutup, kecuali sebuah gerai kecil yang terletak di tepi jalan di kawasan Kuala Pegang.

Kata Amran, oleh kerana tiada pilihan lain dan perut juga sudah lapar, mereka mengambil keputusan untuk berhenti di gerai berkenaan.

JALAN dari Kulim ke Baling di Kedah dipercayai menyimpan banyak kejadian mistik kewujudan gerai makan bunian.

“Saiz gerai tersebut tidaklah besar, sekadar boleh memuatkan kira-kira lima hingga enam meja sahaja.

“Ketika itu, memang tiada pelanggan lain di situ dan memandangkan kami agak ramai, ia cukup-cukup untuk saya dan rakan-rakan duduk dan menjamu selera.

“Di situ, ada dua orang pekerja yang memakai baju putih dengan seorang membuat air dan seorang lagi tugasnya memasak di dapur,” katanya.

Cerita Amran lagi, selain kedua-dua pekerja tersebut tidak banyak bercakap, tiada perkara lain yang pelik berlaku ketika itu dan bagi menjimatkan masa, kesemua mereka memesan mi goreng bersama telur goreng.

Selepas kira-kira 45 minit, mereka bertolak pulang menuju ke Pulau Pinang dan ada antara mereka yang turut membungkus makanan tersebut kerana dikatakan terlalu enak dan menyelerakan.

Selepas hampir sejam perjalanan, mereka tiba di sebuah stesen minyak di Kulim dan berhenti seketika untuk mengisi petrol, selain ada yang ingin ke tandas.

“Ketika itulah berlaku perkara yang aneh kerana tiba-tiga sahaja kami menghidu bau busuk daripada bungkusan makanan yang dibeli dari gerai makan tersebut.

“Disebabkan tidak tahan dengan bau yang meloyakan, seorang daripada rakan saya membuka bungkusan tersebut.
Alangkah terkejutnya kami apabila melihat di dalam bungkusan tersebut adalah mi yang sudah basi dan berbuih, selain kelihatan seperti telur ayam tembelang di dalamnya.

“Melihat kepada keadaan itu, hampir kesemua daripada kami mula muntah-muntah sehingga menarik perhatian seorang pekerja lelaki di stesen minyak tersebut yang menghampiri dan bertanyakan apa yang terjadi,” ujarnya.

Menurut Amran, sebaik menceritakan kejadian yang berlaku, lelaki tersebut yang berusia sekitar 60-an dan berasal dari sebuah kampung di Baling kemudian memberitahu, kemungkinan mereka sudah singgah di sebuah gerai ghaib yang sememangnya dipercayai wujud di laluan antara Kulim dan Baling khususnya di Kuala Pegang.

Cerita lelaki itu kepada Amran, gerai ghaib tersebut dikatakan wujud sejak berpuluh tahun lalu dan ia sudah menjadi buah mulut penduduk di sekitar kawasan tersebut.

“Pada waktu siang, gerai itu tidak akan kelihatan, malah sebatang tiang pun tidak ada sehingga ramai penduduk yang percaya gerai tersebut dimiliki bunian kerana lokasinya terletak di kawasan sunyi dan dikelilingi hutan,” katanya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN