SEBERANG PERAI – Biarpun pekerjaan yang dilakukan tidak segah profesion di pejabat, namun sudah cukup memadai bagi seorang tukang kasut untuk membesarkan lapan anaknya yang berusia 4 hingga 27 tahun.
Muhamad Bajer Ismail, 53, atau lebih dikenali sebagai Bajek berkata, dia telah menjadi seorang tukang kasut selama hampir 40 tahun.
Pada mulanya, dia bukan bercita-cita untuk menjadi seorang tukang kasut, sebaliknya hanya mahu mencari pendapatan sampingan ketika remaja dahulu.
“Saya mula bekerja sejak berusia belasan tahun lagi dengan mengambil upah membantu abang, Ismadi Ismail yang juga seorang tukang kasut disebabkan kami ini berasal daripada keluarga susah.
“Melihatkan pekerjaan itu mampu meraih pendapatan biarpun tidak lumayan, saya terus belajar sampai mahir dan menyambung pekerjaan abang saya sampai sekarang,” katanya di premisnya Bajek Cobbler And Leather Craft di Jalan Pasar, Butterworth di sini kelmarin.
Muhamad Bajer memberitahu, permintaan pelanggan untuk membaiki kasut akan meningkat sekali ganda menjelang musim perayaan berbanding pada hari-hari biasa.
“Kalau hari biasa, saya terima hampir 30 pasang kasut sehari untuk dibaiki, manakala bulan puasa atau musim perayaan pula akan meningkat satu kali ganda daripada jumlah itu.
“Rata-rata pelanggan juga amat berpuas hati dengan hasil kerja saya selama ini sehingga ada antara mereka yang memberi tip.
“Isteri dan seorang anak angkat saya turut membantu membaiki kasut disebabkan banyak tempahan yang perlu disiapkan,” ujarnya.
Selain membaiki pulih kasut, Muhamad Bajer mempelbagaikan kemahiran dengan menghasilkan beg, dompet dan tali pinggang yang kebanyakan diperbuat daripada kulit lembu.