fbpx

Diva AA digugurkan mengacara program Mic On!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZWAN ALI

PETALING JAYA – Pihak pengurusan stesen televisyen Awesome TV mengambil keputusan menggugurkan nama pengacara terkenal, Azwan Ali atau Diva AA daripada tugasnya mengacara program realiti, Mic On! berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini.

Selepas keputusan tersebut dibuat, program Mic On! yang berlangsung setiap hari Jumaat itu akan dikendalikan secara solo oleh pengacara bersama iaitu Issey Fazlisham.

Pihak penyiar Awesome TV membuat keputusan menggugurkan pengacara berusia 56 tahun itu selepas mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan keseluruhan program Mic On! dapat diteruskan dengan lancar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas, pihak Awesome TV tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang hal berkaitan disiplin dan standard etika kerja bagi mana-mana pihak sama ada dalam kalangan tenaga produksi sendiri mahupun bakat yang terlibat dengan program-program terbitan pihak penyiar.

“Pihak Awesome TV tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk salah laku atau gangguan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian.

“Tindakan keras akan diambil sekiranya berlaku sebarang pelanggaran integriti prinsip tersebut,” katanya.

Untuk makluman, Mic On! yang bersiaran pada setiap hari Jumaat pukul 9.00 malam di saluran Awesome TV merupakan sebuah program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian komedi yang menampilkan tiga figura seni tersohor tanah air iaitu Datuk Awie, Datuk Hattan dan Mas Idayu sebagai juri tetap.

Terdahulu, seramai 15 peserta berjaya diserap masuk untuk bersaing pada konsert mingguan Mic On! musim kedua bagi merebut gelaran juara.

Kesemua peserta dibahagikan kepada tiga kumpulan yang diterajui oleh Fad Bocey, Ropie dan Ajak Shiro yang menggalas tanggungjawab selaku manager untuk memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada para peserta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI