LANGKAWI – Kira-kira 300 pengunjung mengambil peluang berjalan di atas beting pasir sepanjang kira-kira 600 meter dari Pantai Tanjung Rhu di sini hingga ke tengah laut susulan fenomena air surut penuh pada pagi ini.
Kewujudan beting pasir sehingga ke Pulau Kelam Baya itu menampakkan laut seolah-olah terbelah dua dengan banyak hidupan laut seperti tapak sulaiman, sotong kurita dan pelbagai jenis siput terdampar di laluan tersebut.
Ia merupakan fenomena tahunan yang berlaku selama kira-kira sejam sebelum air pasang semula.
Menurut seorang pemandu pelancong alam semula jadi, Zoher Mustan, 57, air surut bermula pukul 7 pagi tadi dan paras air laut mula meningkat kira-kira sejam kemudian.
“Pengunjung dapat berjalan kaki di atas beting pasir sepanjang kira-kira 600 meter sehingga Pulau Kelam Baya dan ia merupakan pengalaman yang sangat menarik.
“Biasanya saya akan berpesan kepada pengunjung untuk tidak menyentuh atau membawa balik hidupan laut yang ditemui supaya tidak mengganggu kitaran alam semula jadi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE