fbpx

Anya takut jadi perampas suami orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANYA GERALDINE

NAMA jelitawan seberang, Anya Geraldine sedang mendaki puncak populariti sebagai salah seorang pelakon wanita paling menyerlah ketika ini.

Berbekalkan paras menawan, pelakon berusia 26 tahun itu semakin menjadi buah mulut masyarakat apabila dilabel sebagai aktres muda berbakat besar.

Peranannya sebagai pencuri suami orang atau ‘pelakor’ dalam naskhah rantaian Layangan Putus melonjakkan lagi namanya di arena seni hiburan Indonesia.

Berada di puncak kariernya, Anya sendiri tidak menyangka menempah populariti dalam masa waktu yang cukup ringkas.

Selepas dua kali membawakan watak ‘perempuan perampas’ dalam karya yang dilakonkan iaitu Layangan Putus dan Garis Waktu, Anya berterus-terang enggan lagi untuk membawakan watak serupa untuk projek yang akan datang.

Anya enggan jika sering membawakan watak perempuan yang merampas suami orang lain akan meninggalkan pandangan negatif masyarakat pada dirinya.

“Cukuplah sudah dua kali saya membawakan watak seorang ‘pelakor’. Takut jika masyarakat membenci saya walaupun hanya sekadar lakonan.

“Tapi tidak mustahil untuk masa akan datang jika saya kembali menerima tawaran untuk membawakan watak seperti itu lagi. Tapi yang jelas, bukan dalam waktu terdekat,” katanya.

Pada masa hadapan, Anya juga berharap supaya dia diberi peluang untuk memegang watak lain yang lebih mencabar.

ANYA GERALDINE memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 2017 menerusi debut berjudul Tusuk Jelangkung di Lubang Buaya.

Katanya, berlakon kini sudah menjadi keutamaan dalam kerjayanya dan enggan dilihat sebagai pelakon ‘kaku’ dengan hanya memegang peranan yang boleh membuatkan penonton kebosanan.

Pada masa sama, pucuk muda kelahiran 15 Disember 1995 itu percaya apa yang terjadi sudah pun diatur dan ditentukan Tuhan, termasuk kerjayanya sebagai pelakon pada hari ini.

Anya berasakan perjalanan kerjayanya sangat dipermudahkan, walaupun pada hakikat, cita-cita utamanya bukanlah untuk bergelar pelakon seperti hari ini.

ANYA mengakui pernah dicubit oleh peminat yang geram gara-gara membawakan watak perampas suami orang dalam naskhah popular Layangan Putus.

Model

Dedah Anya, sejak kecil dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru dan berbakti kepada masyarakat, terutamanya kanak-kanak di Indonesia.

“Sejujurnya tidak pernah terlintas dalam fikiran saya untuk menjadi seorang selebriti. Cita-cita saya sejak kecil mahu menjadi guru dan mengajar anak-anak Indonesia.

“Tapi takdir berkata lain apabila saya menceburkan diri dalam bidang lakonan. Saya percaya perjalanan hidup saya sudah pun disusun cantik oleh Tuhan,” katanya.

Sebelum terjun dalam bidang lakonan, wanita berketinggian 177 sentimeter itu terlebih dahulu memulakan kerjayanya sebagai seorang model.

Selain menghiasi pentas peragaan fesyen, pemilik nama lengkap Nur Amalina Hayati itu juga aktif sebagai ‘selebgram’ atau pensohor media sosial dengan hampir 10 juta pengikut dalam Instagram.

PELAKON berusia 26 tahun ini mengakui semakin jatuh cinta dengan dunia lakonan dan ingin menjadi seorang aktres serba boleh suatu hari nanti.

Titik terburuk

Kecemerlangan Anya sebagai seorang peragawati terbukti selepas dia menjuarai pertandingan, Gading Model Search pada 2016, sekali gus meledakkan lagi namanya dalam industri seni hiburan tanah air.

Di sebalik populariti yang diraih, siapa sangka sebenarnya Anya pernah melalui liku-liku sukar dalam hidupnya.

Ramai tidak tahu bahawa Anya sebenarnya berasal daripada keluarga berpecah belah. Kedua-dua ibu bapanya telah berpisah sejak Anya berumur lima tahun.

Selepas perceraian ibu bapa, Anya bersama adiknya, Rizky Wijaya telah dibesarkan si ibu sendirian. Sejak dahulu lagi, Anya sangat tertutup tentang hal-hal berkaitan kehidupannya bersama keluarga.

Bagi Anya, kisah perpisahan ibu bapa menjadi titik terburuk yang pernah berlaku dalam hidup, sehingga menjadi penyebab tidak pernah mendapatkan kasih sayang sewajarnya daripada orang tua.

HATI pemilik nama sebenar Nur Amalina Hayati ini sudah pun dimiliki seorang jejaka tampan bernama Nadif Zahiruddin.

Seksi tapi Islam

Tidak hanya hal keluarga yang mulanya tersimpan kemas, status agama yang dianuti Anya juga pernah menjadi tanda tanya peminat terutama mereka yang tidak tahu tentang nama sebenar dirinya.

Persoalan timbul selepas Anya sering tampil dengan imej seksi dalam Instagram. Gara-gara itu, ramai tertanya-tanya tentang agama dan kepercayaan sebenar yang dianutinya.

Dalam satu temu bual dengan media Indonesia, Anya membuka mulut mempertahankan agama yang dianutinya iaitu Islam.

Ujarnya, walaupun secara luaran terlihat seksi dan menggoda, namun dia berbangga dilahirkan sebagai seorang Muslim dan akan mati dengan kepercayaan yang dianuti sejak lahir.

“Benar penampilan saya agak seksi, tapi saya akan pastikan selama-lamanya kekal sebagai seorang Muslim dan beragama Islam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI