PUTRAJAYA – Sebanyak 189 kes atau 0.69 peratus daripada 27,500 kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan semalam melibatkan kategori tiga, empat dan lima.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dalam masa sama, sebanyak 27,311 kes pula atau 99.31 peratus daripada jangkitan harian semalam terdiri daripada kategori satu dan dua, dengan jumlah kumulatif kes sebanyak 3,496,090 kes.
Menurutnya, mengikut pecahan, kategori satu sebanyak 9,292 kes (33.79 peratus), kategori dua sebanyak 18,019 kes (65.52 peratus), kategori tiga sebanyak 71 kes (0.26 peratus), kategori empat sebanyak 38 kes (0.14 peratus) dan kategori lima 80 kes (0.29 peratus).
“Daripada 189 kes kategori tiga, empat dan lima, 25 kes (13.23 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 89 kes (47.09 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 38 kes (20.11 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 108 kes (57.14 peratus) berumur 60 tahun dan ke dan 48 kes (25.40 peratus) mempunyai komorbid,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, sebanyak 27,557 kes sembuh dilaporkan dengan jumlah kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 3,169,669 kes serta 360 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala, 194 kes memerlukan bantuan pernafasan. -KOSMO! ONLINE














