fbpx

‘Dia sempat berpaut sebelum tenggelam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMRI mengiringi jenazah anaknya, Muhammad Fazly (gambar kecil) yang ditemui lemas untuk dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu kelmarin.

KOTA BHARU – Dua remaja lelaki hanya mampu melihat sepupu mereka dihanyutkan arus deras sebelum tenggelam selepas terjatuh ke dalam tali air ketika menunggang basikal di Kampung Talang, Kadok di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, Muhamad Aiman Mohamad Anuwa, 13, bersama seorang lagi sepupunya dikenali sebagai Faiz, 13, dan mangsa, Muhammad Fazly Kamri, 13, dikatakan mengayuh basikal masing-masing untuk ke rumah datuk mereka di kampung tersebut.

Muhamad Aiman berkata, mereka mengayuh basikal ke arah rumah datuknya yang terletak hanya kira-kira satu kilo­meter dari rumah memandang­kan Faiz dan keluarganya dijadualkan akan pulang ke Kuala Lumpur malam kelmarin.

“Semasa kami bertiga me­n­gayuh basikal, Muhammad Fazly berada di hadapan sekali kerana dia lebih tahu jalan menuju ke rumah datuk. Keadaan ketika itu hujan lebat, namun kami tetap meneruskan perjalanan.

“Sebaik tiba di kawasan tali air, saya lihat Muhammad Fazly tidak dapat mengawal basikalnya selepas terpaksa melalui limpahan air sebelum dia terjatuh ke dalam tali air berkenaan,” kata­nya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian kelmarin.

Menurut Muhamad Aiman, dia bagaimanapun sempat melihat Muhammad Fazly berpaut pada rumput di tepi tali air sambil menjerit meminta tolong sebelum tenggelam ke dalam air.

“Saya dan Faiz tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan kami hanya mampu melihat mang­sa dibawa arus deras sebelum tenggelam di dalam tali air tersebut,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, selepas empat jam lemas di tali air itu, mayat mangsa ditemui pada pukul 10 malam kira-kira 50 meter dari lokasi dia terjatuh.

Menurutnya, mayat mangsa ditemui oleh sepasukan anggota Pasukan Penyelam di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di dasar tali air itu pada kedalaman 2.5 meter.

“Balai Polis Ketereh di sini menerima maklumat daripada orang awam kira-kira pukul 6.20 petang yang memaklumkan terdapat seorang remaja lemas di dalam tali air.

“Selepas anggota PPDA me­lakukan selaman hampir 30 minit, mayat mangsa ditemui di dasar tali air itu,” katanya.

Muhamad Zaki memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk proses bedah siasat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI