fbpx

Wujudkan kedai eksklusif vape, rokok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedai eksklusif Nanostix selain menawarkan khidmat terbaik kepada pelanggan, ia dapat juga membolehkan pemantauan dibuat ke atas pelanggan berusia 18 tahun ke bawah. Gambar hiasan

PETALING JAYA – Langkah Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan melaksanakan larangan pengambilan rokok dan vape dalam kalangan individu berusia bawah 18 tahun berkemungkinan tidak akan berjaya sekiranya tiada alternatif lain diwujudkan.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn. Bhd. (Nanostix), Shahabudeen Jalil Kamarul Jaman berkata, cadangan tersebut sekali gus akan meningkatkan aktiviti penyeludupan dan kegiatan haram yang lain.

Ini kerana katanya, remaja boleh menggunakan orang dewasa sebagai ‘orang tengah’ untuk membeli rokok dan vape.

“Kami menyokong langkah kerajaan, namun langkah ini tidak akan dapat menyelesaikan isu tersebut dalam tempoh panjang kerana rokok dan vape boleh didapati dengan mudah di kebanyakan kedai.

“Terdapat ratusan ribu kedai di seluruh negara yang menjual vape dan rokok, mampukah pihak penguat kuasa mengawal dan menguatkuasakan larangan tersebut secara keseluruhan?” soalnya.

Shahabudeen menerangkan, penguatkuasaan yang tidak konsisten itu juga akan menjejaskan pelaburan serta komuniti perniagaan.

Ciri keselamatan produk Nanostix dipertingkatkan bagi mengelakkan sebarang tindakan pihak tidak bertanggungjawab mencampurkan perisa dengan benda lain seperti ganja.

“Langkah ini akan mewujudkan pasaran gelap yang tidak terkawal bagi rokok dan vape,”ujarnya.

Justeru kata Shahabudeen, kerajaan perlu mencari alternatif lain yang lebih sesuai bagi mengekang pengambilan rokok dan vape dalam kalangan remaja.

Antara cadangan daripada pihaknya adalah dengan mewujudkan kedai eksklusif bagi penjualan vape dan rokok seperti kedai cigar.

“Dengan adanya kedai eksklusif ini, pergerakan keluar masuk pelanggan dapat dikawal dan kerajaan akan senang memantau pelanggan yang ingkar dengan arahan tersebut.

“Selain itu, pemilik premis juga boleh terus menyekat pelanggan di bawah 18 tahun yang cuba mendapatkan rokok dan vape di premis mereka.

“Contohnya seperti melihat nombor kad pengenalan semasa mereka ‘check in’ menggunakan MySejahtera, jika bawah 18 tahun kita boleh terus halang mereka daripada masuk ke premis,”ujarnya.

Shahabudeen

Tambah Shahabudeen, dengan adanya kedai eksklusif seperti ini, kedai-kedai yang menjual rokok dan vape yang ‘bertebaran’ sebelum ini akan dapat dikurangkan dan mereka boleh dapatkan produk ini di kedai eksklusif sahaja.

“Bagi pihak kami sendiri, syarikat sudah mewujudkan kedai eksklusif bagi memberi pilihan terbaik kepada pelanggan.

“Buat masa sekarang, syarikat memiliki kira-kira 92 kedai eksklusif yang menjual produk Nanostix di seluruh negara,”jelasnya.

Mengulas lanjut, Shahabudeen berkata, jika cadangan itu dipersetujui pihak kerajaan, ia bukan sahaja berjaya mengawal penyalahgunaan vape dan rokok kalangan remaja, malah dapat menyelamatkan ramai pemain industri vape.

“Jika kita lihat industri vape ini semakin berkembang di Malaysia dan antara penyumbang kepada hasil cukai untuk kerajaan ketika ini.

“Sepanjang empat tahun beroperasi, syarikat telah membayar kira-kira RM52 juta untuk cukai pendapatan dan jika duti eksais dilaksanakan selepas ini, kami jangka jumlah bayaran akan bertambah lebih daripada RM100 juta,”ujarnya.

Pada masa sama, Shahabudeen menerangkan, industri tempatan ketika ini juga menunjukkan perkembangan yang amat memberangsangkan kerana industri vape di Malaysia berada di tangga kedua selepas Amerika Syarikat.

Kedai eksklusif Nanostix selain menawarkan khidmat terbaik kepada pelanggan.

Katanya, terdapat beberapa faktor yang telah menyumbang kepada perkembangan industri ini antaranya faktor bahan mentah seperti Propylene Glycol (PG) serta Vegetable Glycerin (VG) daripada pokok kelapa sawit yang lebih murah dan berkualiti tinggi.

Selain itu katanya, rakyat tempatan mempunyai cita rasa lebih baik daripada segi pemilihan perisa dan pelbagai kerana setiap perisa itu mempunyai rasa yang berbeza berbanding negara luar.

“Sebagai contoh, rasa mangga kita berbeza-beza, namun bagi pesaing luar negara mereka hanya mampu mengklasifikasikan rasa mangga itu sebagai satu perisa sahaja.

“Inilah kelebihan Malaysia kerana terdiri daripada sebuah tropikal dan kaya dengan pelbagai jenis makanan yang berbeza perisa.

“Disebabkan faktor itu, kami mampu menjadi syarikat yang memasarkan perisa yang paling popular di negara luar,” jelasnya.

Tambah beliau, daripada segi keselamatan pula, pihak Nanostix memasarkan dalam bentuk sealed packaging.

“Ia sebenarnya lebih selamat berbanding botol kerana tiada pihak ketiga boleh mencampurkan perisa dengan benda lain seperti ganja yang boleh membahayakan pengguna,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI