fbpx
Gambar hiasan.

Kos sagu hati akad nikah meningkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Kos perkahwinan pengantin Islam di negeri ini akan meningkat bermula 1 Mac ini apabila sagu hati akad nikah yang dikenakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) akan bertambah sebanyak RM130.

Kenaikan itu membabitkan sagu hati jurunikah daripada RM100 kepada RM150, saguhati dua orang saksi nikah bertambah daripada RM20 kepada RM100.

Berbanding kos sebelum ini hanya RM120 bagi setiap pasa­ngan bertambah menjadi RM250.

Menerusi salinan memo yang dikeluarkan Bahagian Undang-undang Keluarga Islam JHEAIPP kepada Pegawai Tadbir Agama, Pejabat Agama Daerah baru-baru ini, kenaikan itu telah dipersetujui dan diluluskan Mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang pada 8 Di­sember lalu.

Pengarah JHEAIPP, Datuk Mohd. Zakuan Zakaria ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan mengenai kenaikan kos sagu hati itu yang bermula 1 Mac ini.

“Kadar baharu itu adalah kenaikan selepas 15 tahun,” kata­nya.

SALINAN memo dikeluarkan JHEAIPP yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Seorang bakal pengantin yang mahu dikenali Az, 20-an, berkata, walaupun kadar baharu itu sedikit membebankannya, namun dia tidak membantah.

“Saya sedang merancang untuk berkahwin pada hujung tahun. Ketika ini saya sedang mengumpul wang ke arah itu dan masih ada masa buat persiapan.

“Walaupun meningkat, kos itu tidaklah terlalu membebankan. Cuma yang lebih dirisaukan adalah peningkatan kos lain yang naik tanpa kita sedar,” katanya.

Pekerja swasta yang mahu dikenali sebagai Baihaqi, 30-an, berkata, peningkatan itu masih rendah jika dibandingkan dengan kos-kos lain perkahwinan seperti ken­duri, hantaran, fotografi dan cenderahati.

Di Shah Alam, sumber Jabatan Agama Islam Selangor berkata, berlaku kenaikan bayaran bagi jurunikah sebanyak RM50 sejak Julai lalu bagi kadar bayaran sagu hati majlis akad nikah.

“Ini menjadikan bayaran terbaru adalah sebanyak RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan kenaikan itu tidak membebankan bakal pengantin.

“Bayaran kepada dua orang saksi nikah adalah kekal RM20. Justeru, jumlah keseluruhan bagi bayaran sagu hati majlis akad nikah adalah RM190,” katanya.

Di Kangar, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Muhammad Hafeez Abu Seman berkata, Perlis sedang mengkaji cadangan menaikkan kadar bayaran sagu hati kepada jurunikah dan saksi untuk disela­raskan dengan negeri lain.

“Keputusan berhubung perkara itu tertakluk kepada keputusan mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dipengerusikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalul­lail merangkap Yang Dipertua MAIPs,” katanya.

Di Ipoh, Pengarah Jabatan Agama Islam negeri Perak, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, kadar bayaran upah nikah di Perak telah pun dinaikkan tiga tahun lalu daripada RM100 kepada RM200 berkuat kuasa 1 Mac 2019.

Di Alor Setar, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Datuk Mohd. Yusri Md. Daud berkata, bayaran sagu hati kepada jurunikah dan saksi di Kedah masih kekal iaitu RM100 untuk jurunikah, manakala dua saksi pula menerima bayaran RM50.

Di Kuala Terengganu, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Undang-Undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), Syazwana Abdul Latif berkata, tiada rancangan untuk menaikkan kadar sagu hati kerana bayaran kepada jurunikah RM100 baru dikuat kuasa 1 Januari 2020, manakala tidak menetapkan sebarang sagu hati terhadap saksi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN