fbpx

Bank Islam penuhi keperluan profesional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Muazzam (belakang, tengah) bergambar bersama wakil persatuan profesional dalam majlis menandatangani MoU yang diadakan di Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) semalam memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan kolaborasi strategik bersama tiga pertubuhan profesional negara bagi menyediakan penyelesaian perbankan patuh syariah lengkap buat ahli pertubuhan berkenaan.

Pertubuhan terlibat adalah Pertubuhan Arkitek Malaysia, Persatuan Keselamatan dan Ke­sihatan Pekerjaan Malaysia dan Institut Akauntan Malaysia yang secara kumulatifnya menaungi 44,500 ahli berdaftar.

BIMB akan menawarkan penyelesaian kewangan merangkumi pembiayaan peribadi, produk deposit serta pengurusan kekayaan selain produk perbankan perusahaan kecil dan sederhana bagi mempermudahkan ahli-ahli pertubuhan terbabit membuka perniagaan persendirian yang berkaitan seperti firma perkhidmatan perakaunan dan perun­dingan atau syarikat berkaitan pembinaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BIMB, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya me­nyasarkan pertumbuhan jumlah pembiayaan peribadi seba­nyak tujuh peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang menerusi kerjasama berkenaan.

“Kami berbesar hati dengan pemeteraian MoU dan jalinan kerjasama strategik ini yang dapat meningkatkan usaha sama dengan semua pihak terlibat dan seterusnya berupaya memberi manfaat yang lebih besar kepada industri profesional serta ah­linya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada September 2020, BIMB menandatangani MoU dengan beberapa pertubuhan profesional dalam sektor kesihatan melibatkan Persatuan Perubatan Malaysia, Pertubuhan Amal Per­ubatan Ibnu Sina Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Optomerist Malaysia, Persatuan Pengamal Pergigian Swasta Malaysia dan Persatuan Veterinari Malaysia.

Hasil daripada MoU tersebut, BIMB telah mencatat sejumlah 8,873 pelanggan profesional kesihatan dengan amaun pembiayaan peribadi terkumpul bernilai kira-kira RM796 juta setakat Disember 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI