fbpx
PENGIRAN Anak Puteri Fadzilah menyerlah dengan busana indah dan tiara zamrud yang dianggap media sebagai 'epitome kemewahan' berjalan bersama suaminya, Awang Abdullah dengan disusuli Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. – INSTAGRAM BRUNEI ROYAL FAMILY

Gemerlapan kemewahan perkahwinan gilang-gemilang ‘raja, ratu 10 hari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SELAMAT pengantin baharu. Saya sangat gembira atas perkahwinan ini.”

Ungkapan kegembiraan itu ditulis Pengiran Muda Abdul Mateen buat kakandanya, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dalam satu hantaran di Instagram miliknya.

Puteri Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah itu mengahwini seorang pemuda Iraq yang menetap di Kanada, Awang Abdullah Nazil Mahmoud Al-Hashimi dalam satu upacara perkahwinan diraja baru-baru ini.

Masyarakat global turut merasai kegembiraan itu apabila puteri kepada Sultan Hassanal Bolkiah, salah seorang individu atau golongan diraja terkaya di dunia itu mendirikan rumah tangga. Puteri berusia 36 tahun ini tidak putus-putus dihujani ucapan selamat pengantin baharu.

 

Baca artikel penuh di www.kosmo.com.my

 

“SELAMAT pengantin baharu. Saya sangat gembira atas perkahwinan ini. Sebesar-besar cinta buat kakanda saya yang cantik.”

Ungkapan kegembiraan itu ditulis Pengiran Muda Abdul Mateen buat kakandanya, Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dalam satu hantaran di Instagram miliknya.

Merupakan anak kesembilan daripada 12 adik-beradik, puteri Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah itu mengahwini seorang pemuda Iraq yang menetap di Kanada, Awang Abdullah Nazil Mahmoud Al-Hashimi dalam satu upacara perkahwinan diraja baru-baru ini.

Bukan sahaja dirai dalam kalangan keluarga kerabat, masyarakat global turut merasai kegembiraan itu apabila puteri kepada Sultan Hassanal Bolkiah, salah seorang individu atau golongan diraja terkaya di dunia itu mendirikan rumah tangga. Puteri berusia 36 tahun ini tidak putus-putus dihujani ucapan selamat pengantin baharu.

Kalau pengantin lazimnya digelar raja sehari, nampaknya pasangan ini diraikan dengan luar biasa. Bukan sehari tetapi 10 hari berturut-turut istiadat perkahwinan diraja ini dilangsungkan di Istana Nurul Iman di Bandar Seri Begawan. Ternyata istiadat perkahwinan diraja yang berlangsung dari 16 hingga 25 Januari lalu itu merupakan sebuah majlis yang cukup gilang-gemilang.

Kaya dengan istiadat yang menonjolkan keunikan tatasusila diraja Brunei sejak zaman berzaman, perkahwinan kerabat diraja di negara itu sering mencuri perhatian masyarakat dunia sejak dahulu lagi.

Biarpun lebih seminggu telah berlalu, namun kemeriahan perkahwinan diraja ini masih menjadi bualan masyarakat dunia terutamanya di media sosial apabila gambar-gambar mempelai berbusana mewah dan indah itu masih dikongsi sehingga ke hari ini.

PASANGAN Pengiran Anak Puteri Fadzilah dan suaminya, Awang Abdullah bersanding di atas singgahsana serba kuning.

Biarpun hanya mampu disaksikan umum di sebalik paparan skrin apabila ia disiarkan secara langsung di Radio Televisyen Brunei melalui platform digital dan elektronik, masyarakat tetap tidak ketinggalan untuk ‘menghadiri’ majlis tersebut setiap hari.

Istiadat perkahwinan diraja itu menggambarkan ketokohan konsep Melayu Islam Beraja. Upacara yang dipenuhi tradisi dan budi bahasa Melayu Brunei yang anggun jelas menunjukkan negara Islam tersebut masih mengikuti tradisi yang diwarisi sepanjang zaman biarpun negara kian maju.

Melihatkan istiadat gah menerusi suapan gambar di media sosial, masing-masing melahirkan kekaguman melihatkan upacara cukup sempurna, daripada set barang kemas mewah sehinggalah busana indah.

Mengimbas majlis perkahwinan itu, pasangan mempelai ini diijab kabul pada 20 Januari lalu di Masjid Omar Ali Saifuddien.

Pada salah satu hari keraian, upacara dimulakan dengan keberangkatan ahli-ahli kerabat diraja Brunei disusuli keberangkatan masuk Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha. Bonda puteri itu yang juga bekas isteri kedua Sultan Brunei, Puan Mariam Abdul Aziz turut hadir.

Sebelum pengantin lelaki berarak masuk ke singgahsana yang dihias cantik, beliau disiapkan dengan air pandan yang dicampur bunga-bunga segar untuk memberi aroma wangian ketika bersanding. Kemudian, di singgahsana, Sultan Brunei menapakkan tangan pengantin lelaki ke atas jemala anakandanya sambil diiringi selawat yang dibacakan Mufti Kerajaan, Pehin Datu Seri Maharaja Ustaz Awang Abdul Aziz Juned. Seiring istiadat itu, 17 das meriam turut dilepaskan.

TIARA dengan enam batu zamrud besar ini disifatkan media sebagai show-stopper pada penampilan pengantin.

South China Morning Post melaporkan, perkahwinan anakanda sultan billionaire itu mengagumkan dengan tiga persalinan memukau yang mana puteri itu turut memakai tiara zamrud pada salah satu persalinannya iaitu yang berona kelabu kebiruan.

Tiara yang dihiasi enam batu zamrud yang besar itu dipercayai milik Raja Isteri Pengiran Anak Saleha yang juga bonda tirinya. Tiara yang sama juga pernah dipakai anakanda-anakanda Raja Isteri Pengiran Anak Saleha antaranya Pengiran Anak Puteri Rashidah Bolkiah dan Pengiran Anak Puteri Majeedah Bolkiah.

Tiara yang cukup memukau itu disifatkan sebagai elemen show-stopping dan epitome kemewahan.

Turut menjadi perhatian ramai ialah busana-busana digayakan pasangan mempelai diraja itu yang kesemuanya diperbuat daripada kain tenunan Brunei. Bukan sahaja masyarakatnya, malah kerabat diraja Brunei masih lagi mengangkat tinggi tenunan Brunei.

Pada persalinan putih yang juga merupakan pakaian pernikahan, kedua-dua mempelai bergaya sedondon dengan pengantin perempuan memakai layah panjang sambil memegang ‘jambangan bunga’ diperbuat daripada emas putih dan kuning. Tiara berliannya di kepala turut digandingkan bersama rantai berlian dan mutiara seperti dilapor The Indian Express.

PASANGAN ini turut menggayakan persalinan tradisional yang dihiasi emas.

Pada persalinan merah pula, menurut News Fox 24, puteri itu memakai busana perkahwinan tradisional yang dihiasi kemasan emas bersama mahkota tinggi keemasan berukiran kompleks.

Memetik portal Pelita Brunei, busana pengantin itu direka pereka fesyen terkenal Malaysia, Datuk Seri Bernard Chandran.

Menurut Bernard, golongan muda perlu menghargai penggunaan kain tenunan Brunei kerana ia merupakan fabrik tradisional cantik dan menarik.

Berkongsi lanjut, Bernard berkata, corak baju pengantin diraja semasa Majlis Istiadat Bersanding Pengantin Diraja adalah direka mengikut rekaan terkini dan kontemporari.

“Saya tahu apa yang benar-benar dimahukan puteri,” ujarnya kepada Pelita Brunei.

Pereka Malaysia, Bernard Chandran merupakan individu di sebalik penghasilan busana-busana indah yang tersarung pada pasangan diraja ini.

Bernard menjelaskan, pakaian yang dikenakan tersebut adalah mengikut cita rasa dan kesukaan puteri itu.

Pereka berusia 53 tahun itu mengakui telah mula mengenali dan memahami cita rasa rekaan pakaian Pengiran Anak Puteri Fadzilah sejak puteri itu berusia 10 tahun lagi.

Bernard berkata, dia mengambil masa selama enam bulan untuk mendapat ilham bagi menghasilkan busana tersebut.

Bagaimanapun, proses menyiapkan baju-baju tersebut hanya mengambil masa selama dua hingga tiga bulan. Katanya, gabungan tradisi tenunan Brunei dan sentuhan kontemporari itu ternyata menyerikan pasangan pengantin diraja itu.

Memetik kertas persidangan Kain Tenunan Brunei: Warisan, Cabaran dan Masa Depan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Brunei di Universiti Brunei Darussalam, Dr. Siti Norkhalbi Wahsalfaleh, kain tenunan dalam masyarakat Brunei menggambarkan identiti Melayu yang berpaksikan kepada budaya dan alam persekitaran.

“Dalam upacara perkahwinan, pasangan pengantin akan memakai pakaian sedondon yang diperbuat daripada kain tenunan. Keseragaman warna dan ragam hias pakaian tersebut melambangkan kesatuan dan kesefahaman.

“Pemakaian kain tenunan pada majlis perkahwinan masyarakat Melayu tidak hanya dilihat sebagai perluasan makna simbolik tentang hubungan sosial, tetapi juga perasaan tanggungjawab yang perlu dipenuhi dalam melayani pasangan pengantin dengan sewajarnya sesuai dengan pepatah Melayu bahawa pasangan pengantin adalah merupakan ‘raja sehari’ di hari perkahwinan mereka,” terangnya

Menurutnya, selain dipakai oleh pengantin di sepanjang majlis perkahwinan mereka, kain tenunan sebegitu turut dijadikan sebagai hantaran.

“Bagi masyarakat Melayu di Brunei, kain tenunan Brunei adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang digunakan dalam tradisi Melayu. Meninggalkan amalan tradisi dianggap sebagai mengabaikan asal usul mereka.

“Bagi masyarakat Melayu Brunei, kain tenunan Brunei jenis jong sarat dijadikan sebagai salah satu hantaran perkahwinan yang mesti diberikan oleh pengantin lelaki kepada pengantin perempuan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN