fbpx

Lucut hak RM16 juta, representasi ahli keluarga Azeez ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abdul Azeez.

KUALA LUMPUR – Representasi Ahli keluarga bekas Pengerusi Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung permohonan kerajaan untuk melucut hak hampir RM16 juta termasuk satu lot kedai yang didakwa hasil daripada aktiviti wang haram ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim yang mewakili pemohon ketika pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

“Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi status representasi oleh pihak responden (ahli keluarga Azeez). Dukacita dimaklumkan representasi ditolak dan satu surat telah dihantar kepada peguam responden pada 4 Februari lalu,” kata Nik Haslinie.

Pada 3 Januari lalu, mahkamah dimaklumkan ahli keluarga Azeez mengemukakan representasi kepada AGC pada 16 November lalu.

Dalam prosiding sama, peguam Datuk Prem Ramachandran yang mewakili responden memaklumkan mahkamah bahawa mereka telah memfailkan afidavit pada Jumaat lalu berhubung sumber dana yang sah.

Nik Haslinie kemudian berkata, memandangkan mereka telah menerima afidavit-afidavit itu, pihak pendakwaan sedang meneliti dan mengkaji serta akan menjawab afidavit-afidavit yang dikemukakan.

Justeru Hakim Muhammad Jamil kemudian memohon pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis pada pertengahan bulan Mei ini dan menetapkan 21 Jun ini bagi pendengaran kes.

Dalam pada itu, peguam Choy kay Chun yang bertindak sebagai pihak ketiga yang menuntut iaitu Maybank Islamic Berhad juga tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Pemohon adalah kerajaan, responden merupakan isteri Abdul Azeez iaitu Datin Seri Khadijah Mohd.Noor serta empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd. sementara pihak ketiga yang menuntut adalah Maybank Islamic Berhad.

Berdasarkan senarai kausa dalam laman sesawang e-pemfailan, kerajaan telah memulakan prosiding untuk melucut hak wang itu daripada akaun peribadi TH milik isteri Abdul Azeez dan empat anak mereka serta satu unit pejabat milik Azeera Management Consultants (M) Sdn. Bhd.

Permohonan melucut hak itu difailkan pihak pendakwaan terhadap ahli keluarga Abdul Azeez pada September dua tahun lalu manakala mereka memfailkan permohonan untuk penangguhan. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI