fbpx

Tanya Mufti: Wajib tunai amanah ikut kehendak penderma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wang lebihan derma perlu mendapat keizinan penderma jika ingin digunakan pada perkara lain selain tujuan asal ia diberikan.- Gambar hiasan

Bolehkah saya menggunakan duit lebihan derma untuk kos rawatan isteri yang menghidap kanser payudara tahap 2A yang diterima daripada orang ramai untuk kelangsungan hidup seperti makan, bayar hutang dan sebagainya?

Jawapan:
Seseorang yang diberikan amanah untuk menguruskan derma wajib menunaikan amanah itu mengikut kehendak pemberi derma.

Kedudukan saudara sebagai pengurus derma yang diberikan pihak lain kepada isteri adalah kedudukan seorang wakil yang tidak boleh bertindak melainkan dengan keizinan pihak diwakili.

Jika tidak, ia termasuk dalam perbuatan khianat kepada amanah dan itu merupakan satu dosa besar. Ini telah Allah beri ingatan dalam surah al-Anfal ayat 27.

Saudara hanya boleh menggunakan wang itu bagi tujuan lain dengan syarat mendapat keizinan penderma.Jika tidak, hendaklah dikembalikan derma tersebut kepada pemberinya.

Jika tidak mampu mengembalikannya kerana kesukaran pengurusan atau seumpamanya, hendaklah menyalurkan derma itu kepada perkara yang serupa dengan maksud penderma.

Jika wang derma itu telah digunakan berbeza dari tujuan asal, maka hendaklah digantikan kembali jumlah yang telah digunakan. Jika tidak, ia termasuk dosa mengkhianati amanah.

Jika pemberian daripada penderma itu bersifat umum, atau difahami daripada ungkapan perkataan atau pengalaman bergaul dengannya bahawa memang untuk pesakit dan keperluan keluarga pesakit termasuk diri saudara, maka ia boleh digunakan pada perkara yang boleh dimasukkan dalam maksud penderma tersebut.

Jika wang pemberian itu daripada zakat yang wajib, maka ia boleh digunakan untuk perkara lain yang layak menggunakan harta zakat termasuk membeli makanan dan minuman untuk orang miskin.

Jika saudara dalam kategori fakir atau miskin, boleh menggunakannya. Ini kerana, zakat wajib boleh disalurkan kepada mana-mana pihak yang layak. Zakat wajib bukan milik pengeluarnya untuk dikembalikan. Sebaliknya milik mereka yang layak menerima zakat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI