JEMPOL – Lebih 700 tanglung pelbagai saiz menghiasi Bukit Taisho, di sini, sejak dua minggu lalu sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2022.
Salah seorang sukarelawan yang ditemui, Farm Kiam Lee, 63, berkata, langkah berkenaan bukan hanya bagi menceriakan lagi sambutan perayaan, bahkan bagi mengalu-alukan lagi kehadiran peminat aktiviti pendakian.
Malah menurutnya, dana bagi menceriakan puncak Bukit Taisho berkenaan juga diperoleh secara sumbangan orang ramai yang terdiri daripada penduduk setempat.
“Macam saya walaupun hari raya, saya tetap juga naik ke puncak bukit ini untuk aktiviti-aktiviti sukarelawan seperti mengutip sampah. Bagi saya, selain menyihatkan badan, aktiviti keselukarelawan mengindahkan kawasan serta menjaga kebersihan tidak boleh terhenti disebabkan perayaan.
“Malah, saya juga bertanggungjawab menjaga tanaman, bunga di beberapa lokasi di puncak ini,” katanya ketika ditemui di Bukit Taisho, di sini semalam.
Sementara itu, seorang pengunjung, Zarina Alias, 38, berkata, dia sememangnya teruja untuk mendaki Bukit Taisho semasa perayaan tahun baharu Cina kerana banyak perhiasan perayaan berkenaan dipasang ketika perayaan.
Malah menurutnya, pada waktu malam, pemandangan lebih menarik apabila bukan hanya lampu tanglung yang dipasang, bahkan terdapat lampu hiasan LED yang menambahkan seri tempat ini. – K! ONLINE