fbpx
INSTITUT memandu melatih calon-calon, namun yang menentukan tahap kompetensi mereka adalah JPJ. – GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI

‘Gantung permit sekolah memandu tak masuk akal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Tidak adil untuk menyalahkan institut memandu jika ramai calonnya yang memiliki lesen memandu, namun terlibat dalam kemalangan atau melanggar peraturan jalan raya.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (Pima), Mat Aris Bakar berkata, cadangan untuk menggantung atau memba­talkan permit institut memandu disebabkan perkara itu adalah tidak praktikal.

“Cadangan ini tidak pernah dilakukan oleh mana-mana negara di dunia. Benar latihan dibuat oleh institut memandu, tetapi ujian dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), malah semua kurikulum ditentukan JPJ.

“Semua penceramah yang dibenarkan mengajar teori dan praktikal juga telah dilatih, diuji dan dilesenkan oleh JPJ. Institut memandu melatih calon, tetapi yang menguji dan menentukan tahap kompetensi calon adalah JPJ.

“Jika calon didapati tiada kompetensi (oleh JPJ), maka tidak layak (dapat lesen memandu daripada JPJ),” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Menerusi sistem itu, JPJ juga dapat mengesan setiap lesen memandu yang dikeluarkan daripada institut memandu di negara ini.

Mat Aris berkata, faktor kemalangan jalan raya bukan hanya tentang aspek pendidikan, sebaliknya melibatkan banyak faktor lain.

Menurutnya, faktor itu termasuk kejuruteraan, penguatkuasaan, pemantauan dan keada­an persekitaran yang harus diteliti dalam menangani isu kemalangan jalan raya.

“Sebagai contoh di Jepun dan Singapura, mereka memasang kamera di setiap lampu isyarat bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang.

“Tiada siapa berani langgar lampu isyarat kerana boleh menyebabkan lesen memandu ditarik balik. Jepun pasang kamera di setiap lampu isyarat sejak tahun 1991,” katanya.

Tambahnya, cadangan itu juga seolah-olah tidak menghargai sumbangan 233 institut memandu di seluruh negara termasuk 180 ahli Pima dalam membantu memastikan setiap pemandu kenderaan diberi latihan sewajarnya.

Kelmarin, JPJ dilaporkan bercadang untuk menggantung atau membatalkan permit institut memandu yang didapati melahirkan ramai calon yang terbabit dalam kemalangan dan melanggar undang-undang jalan raya.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim dipetik berkata, langkah itu akan dilakukan selepas JPJ melaksanakan sistem kod pendigitalan pada lesen yang dapat mengesan kesalahan pemandu bermula tahun ini. -K! ONLINE

POPULAR