fbpx

Kluster Pendidikan: 335 pelajar, guru di Melaka positif Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SMKA Sharifah Rodziah antara sekolah di Melaka berdepan penularan Covid-19.

MELAKA – Kluster pendidikan di negeri ini tidak menunjukkan perkembangan positif, sebaliknya kes terus meningkat dengan kini seramai 335 pelajar dan guru dijangkiti Covid-19.

Pengarah Kesihatan Melaka, Dr. Rusdi Abd. Rahman berkata, sehingga semalam tiga lagi kluster baharu diisytiharkan membabitkan sebanyak 74 kes di tiga institusi pendidikan.

Jelasnya, institusi terlibat adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, sekolah tahfiz Pusat Bimbingan Al Islah dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA.

“Sehingga semalam kita merekodkan 74 lagi kes baharu iaitu 24 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (31) dan Pusat Bimbingan Al Islah (19).

“Ketiga-tiga institusi ini diisytiharkan sebagai Kluster Jalan Telok Mas, Kluster Paya Lebar dan Kluster Jalan Sungai Air Hitam,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Tambahnya, peningkatan kes itu sekali gus merekodkan jumlah keseluruhan kluster pendidikan aktif di negeri ini sebanyak tujuh kluster dengan jumlah keseluruhan kes seramai 334 membabitkan pelajar dan guru.

Mengulas lanjut beliau berkata, ketiga-tiga institusi yang dijangkiti wabak itu telah diarahkan tutup selama tujuh hingga 10 hari bermula Jumaat lalu bagi mengawal penularan jangkitan.

“Mereka yang positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

“Ketiga-tiga sekolah juga ditutup dan dipantau rapi oleh Pejabat Daerah Kesihatan (PKD),” katanya.

Pada Selasa lalu, Rusdi meluahkan kembimbangan susulan peningkatan kes kluster pendidikan selepas seramai 261 pelajar dikesan positif Covid-19 dan empat kluster baharu tercetus.

Empat kluster tersebut adalah Kluster Jalan Kemendor (Kolej Vokasional Melaka Tengah) dan Kluster Jalan Hang Tuah Jaya 2 (Universiti Teknikal Malaysia Melaka), Kluster Jalan Telani (Kolej Vokasional Datuk Seri Abu Zahar Isnin) dan Kluster Jalan Pengkalan Batu (SMK Agama Sultan Muhammad). – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI