fbpx

Haram rokok, vape bakal bantutkan produktiviti sosio-ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penggunaan vape disifatkan sebagai alternatif yang kurang mudarat berbanding rokok tradisional. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Langkah Malaysia untuk mengharamkan penjualan semua produk rokok dan vape kepada generasi akan datang bakal  membantutkan produktiviti sosio-ekonomi malah akan  hanya memberi manfaat kepada sindiket jenayah terutamanya yang terlibat dalam mengedar produk seludup.

Pengarah Urusan Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, berdasarkan analisis yang dibuat, negara masih belum bersedia untuk mengadaptasi pendekatan New Zealand dalam mengharamkan produk rokok dan vape untuk generasi akan datang.

Menurutnya, halangan utama adalah keberadaan rokok seludup yang sangat tinggi di negara ini.

Malaysia merupakan salah satu negara tertinggi di dunia dalam penyeludupan rokok iaitu dengan kadar 57.3 peratus daripada pasaran.

Ia telah menyebabkan kerajaan kehilangan RM5 bilion hasil cukai tidak dikutip setiap tahun.

“Bayangkan apakah kesan yang akan diperolehi dari tindakan pengharaman rokok dan produk vape?

“Sindiket jenayah akan menikmati pasaran monopoli seluruh segmen penduduk yang lahir dari tahun 2005 dan seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas  kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar di Geneva semalam mengenai cadangannya untuk mengharamkan rokok untuk generasi akan datang dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada individu yang lahir selepas tahun 2005.

Memetik kajian kes baru-baru ini, RTBA Malaysia menjelaskan, Bhutan telah melaksanakan pengharaman penjualan rokok dan larangan merokok di kawasan awam pada tahun 2004.

Hasil daripada larangan tersebut, penyeludupan rokok haram telah berkembang pesat sekali gus mengakibatkan ramai golongan belia terjebak dengan tabiat merokok kerana rokok haram mudah didapati dan tidak terkawal.

“Larangan Singapura secara terang-terangan terhadap e-rokok pula adalah satu lagi contoh yang baik dalam hal vape.

Gambar hiasan

“Walaupun larangan itu telah berkuatkuasa, Penguasa Sains Kesihatan (HAS) melaporkan terdapat 9,738 kes melibatkan pengimportan haram e-vaporiser dan 196 kes melibatkan penjualan produk tersebut dari 2018 hingga 2020.

“Singapura adalah negara yang berbangga dengan penguatkuasaan yang ketat, undang-undang serta kelaziman rendah produk haram dalam pasarannya,” terang beliau.

Tambah Fazli, sebelum Malaysia boleh mempertimbangkan pengharaman rokok dan produk vape dalam pasarannya, ia perlu menurunkan kelaziman rokok seludup ke tahap yang rendah melalui pembaharuan eksais dan penguatkuasaan yang dipertingkatkan.

Mengambil contoh di New Zealand, kelaziman rokok haram adalah di bawah 15 peratus dan ia juga mempunyai program berhenti merokok yang terkini merangkumi e-rokok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI