PETALING JAYA – Pelakon Aeril Zafrel mendedahkan amalan menyerahkan kepercayaan pengurusan kewangan kepada isterinya, Wawa Zainal sejak mendirikan rumahtangga 10 tahun lalu turut menjadi rahsia kejayaan perniagaan mereka.
Kata Aeril, kebolehan Wawa menguruskan hal ehwal pengurusan wang syarikat dengan baik sudah terbukti menerusi perkembangan bisnes rangkaian produk kecantikan mereka sejak mula beroperasi sehingga kini.
“Tips kejayaan yang saya amalkan sehingga ke hari ini ialah saya biarkan Wawa menguruskan semua duit perniagaan kami.
“Malah sampai sekarang saya masih tak tahu lagi nak pindahkan duit syarikat sebab saya percaya kalau wanita yang uruskan duit, insya- Allah semuanya akan baik-baik saja,” katanya menerusi Facebook.
Pendedahan tersebut dikongsikan bintang Cinta Jannah itu selepas majlis penghargaan Malam Gala Wawa Cosmetics yang kini sudah empat tahun ditubuhkan.
Pada masa sama, Aeril, 33, turut meluahkan kesyukuran terhadap rezeki serta kebahagiaan yang dikecapi mereka selepas melalui pelbagai ujian sepanjang tempoh sedekad melayari kehidupan bersama-sama.
“Alhamdulillah, sudah 10 tahun kami hidup bersama. Banyak dugaan yang telah kami lalui dari awal perkahwinan hinggalah ke hari ini.
“Kami bukanlah pasangan yang sempurna. Masih banyak yang kami harus pelajari walaupun sudah satu dekad sebantal bersama-sama.
“Kerana saling melengkapi kekurangan masing-masing itu lebih baik daripada mencari kesempurnaan.
“Alhamdulillah, tidak terkira banyaknya nikmat yang Tuhan telah pinjamkan sepanjang kami bersama, daripada empat orang anak hingga kejayaan Wawacosmetic pada hari ini,” katanya lagi.
Pasangan romantis tersebut mendirikan rumah tangga pada 2013 dengan dikurniakan empat cahaya mata, Ahmad Fakhruddin Attar, 8, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 6, Ayya Soffya kini berusia dua tahun serta Muhammad Fahri yang dilahirkan November tahun lalu.
Sementara itu, perkongsian semula tangkap layar status Facebook Aeril oleh Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal, 30, menerusi Instagramnya turut meraih pelbagai komen tanda sokongan.
Rata-rata bersetuju dengan tindakan Aeril yang memberi sepenuh kepercayaan kepada isteri sendiri mengendalikan soal pengendalian kewangan.
“Kan saya dah cakap, memang isteri akauntan terbaik buat suami ” tulis seorang pengikut bersetuju dengan kenyataan Wawa dan Aeril.
Malah ada yang turut memberi cadangan kepada lelaki bergelar suami untuk berbuat perkara sama supaya lebih diluaskan pintu rezeki. – K! ONLINE