fbpx

Azizulhasni bukti kesetiaan, tolak tawaran lumayan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZULHASNI

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan bahawa dia memilih mengutamakan tanggungjawab kepada negara meskipun menerima tawaran lumayan menyertai perlumbaaan di Jepun serta Eropah.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 tersebut mengakui sewaktu berhijrah ke Melbourne dia telah menolak tawaran antaranya menyertai pasukan Profesional Drapac (le­buhraya), Persatuan Keirin Jepun (JKA) dan perlumbaan di Eropah.

Meskipun sedar mampu me­ngaut keuntungan besar daripada penyertaan tersebut, namun atlet kelahiran Terengganu tersebut memilih untuk ‘setia’ selain mahu membalas semula pelaburan yang sudah dibuat ke atas dirinya.

“Siapa tidak kenal pasukan UCI pro benua itu yang pernah dianggotai oleh dua pelumba le­buh raya handalan negara seperti Adiq Husaini dan Amir Mustafa. Selepas berbincang dengan John Beasley saya akhirnya menolak dengan baik tawaran berkenaan.

“Saya juga beberapa kali diberikan tawaran oleh Persatuan Keirin Jepun (JKA) untuk berlumba di sana. Penuh dengan tradisi, saya diberikan surat jemputan dalam format tradisional Jepun yang siap dengan cop mohor, mengagumkan.

“Menjadi cita-cita setiap pelumba keirin untuk dipilih dan berlumba di sana, peluang untuk mengaut wang kemenangan yang besar juga adalah antara yang ditawarkan jika berlumba di siri perlumbaan di sana.

“Selepas mengambil sedikit masa, saya membuat keputusan untuk menolak tawaran ber­kenaan dengan penuh hormat. Oleh sebab itu mereka meminta saya untuk maklumkan apabila saya telah bersedia kerana mereka ingin menjemput kembali. Belum pernah berlaku.

“Saya juga banyak kali ditawarkan untuk berlumba di perlumbaan jemputan di Eropah seperti Six-day track series yang terkenal di benua sana dan mendapat liputan penyiaran antarabangsa tetapi juga saya tolak. Kenapa?

“Semua ini adalah kerana saya mengutamakan tanggungjawab saya kepada pasukan negara tercinta. Andai kata saya memilih peluang-peluang tersebut, sudah tentu ia akan memberikan banyak kelebihan kepada diri dan karier saya,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI