fbpx
Gambar hiasan

Ayuh bangkit SPRM, jangan takut… lawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Situasi dihadapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ini mengingatkan saya kepada apa yang terjadi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) 24 tahun lalu.

Cuma yang membezakannya ialah cara kejadian itu berlaku. Bagi PDRM, ketua mereka ketika itu, Tan Sri Abdul Rahim Mohd. Noor secara jelas melakukan kekerasan, manakala SPRM pula masih samar-samar. Hendak kata buat pun tidak, tak buat pun bukan. Belum jelas.

Kejadian mata lebam yang menimpa Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kini Ketua Pembangkang) akibat ditumbuk Abdul Rahim ketika sesi soal siasat masih diingati sehingga kini.

Abdul Rahim kemudian dipenjara dua bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hukuman ke atas Abdul Rahim yang diibaratkan seperti bapa kepada pegawai dan anggota polis ketika itu ternyata mengundang kemurungan kepada warga Sang Saka Biru.

Masih segar dalam ingatan bagaimana seorang pegawai yang saya temui ketika menjadi wartawan jenayah menceritakan bahawa ramai dalam kalangan mereka tiada semangat untuk bekerja ketika itu.

“Bayangkan bapa kita sudah ditangkap dan dipenjarakan kerana satu kesalahan dan ia memberi kesan mendalam kepada seluruh pasukan,” katanya.

Apa yang saya nampak daripada imbauan kisahnya itu ialah sifat kekeluargaan dalam kalangan warga PDRM sangat utuh. Namun, disebabkan tanggungjawab, mereka gagahkan juga memikul amanah yang diberikan untuk menjaga keamanan negara.

Ketika ini pula, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berdepan dengan tohmahan salah guna kuasa digerakkan oleh tangan ‘ghaib’ yang berselindung di sebalik akaun Telegram dikenali sebagai Edisi Siasat (ES).

Hanya dengan satu akaun, habis segala integriti pasukan. Bagaimanapun secara kasar, apa yang didakwa ES nampak seperti benar kerana ia disertakan dengan beberapa bukti hingga membuatkan pengikut akaun tersebut ‘termakan’ dengan apa yang dikatakan.

SPRM perlu bangkit dan melawan segala tohmahan dengan bukti juga. Perlu diingat, memegang jawatan di satu badan yang berwibawa seperti SPRM memerlukan integriti tinggi kerana ia sering diperhatikan oleh kawan dan lawan.

Ini bukan masanya untuk bernostalgia mengatakan segala bakti dan jasa yang telah ditaburkan. Orang sudah lupa dengan hanya satu dua kesalahan. Ini lumrah.

Seperti PDRM, warga SPRM juga tidak terlepas dan terkesan dengan keadaan yang menekan mereka ketika ini. Deringan telefon, mesej dan notifikasi bertali arus siang dan malam membuatkan hidup tidak tenteram.

Orang satu taman, pelanggan kedai kopi hatta pengunjung zoo sekali pun bercerita mengenai hal ini. Sesuatu yang jelas perlu dilakukan SPRM bagi menangkis segala tohmahan ini demi mengembalikan integriti pasukan.

Di saat pelbagai pihak mencadangkan itu dan ini, adalah diharapkan agar SPRM tidak cepat melatah dan terikut dengan rentak tarian mereka yang iri hati dan mempunyai agenda tertentu untuk memburukkan imej badan berintegriti tersebut.-K! ONLINE

POPULAR