fbpx

Elemen berbilang kaum sambut Tahun Harimau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BEHATI menggabungkan pakaian tradisi kaum Cina dengan elemen pakaian kaum lain di Malaysia bagi menampilkan rekaan yang cukup berbeza

PERAYAAN Tahun Baharu Cina yang disambut setiap tahun merupakan peluang terbaik buat pereka fesyen untuk tampil dengan rekaan yang segar namun masih mengekalkan aspek tradisi dan klasik pada penghasilan busana.

Bagi mengelakkan busana klasik seperti cheongsam dan sut Tang kelihatan biasa, pereka fesyen akan bereksperimen pada pemilihan warna pakaian, potongan yang sedikit ‘elevated’ dan juga perincian yang sedikit berbeza.

Tepat 1 Januari lalu, jenama gaya jalanan Behati melancarkan rekaan bersempena festival Tahun Baru Cina yang diberi nama ‘Harimau Malaya’. Tema itu dipilih bersempena dengan Tahun Harimau 2022.

Sama seperti perwatakan seekor harimau yang garang dan berani, rekaan dihasilkan pereka fesyen Kel Wen tampil berani apabila menggabungkan rona garang seperti merah dan jingga yang dipadankan dengan rona lembut seperti putih gading dalam penghasilan busana tradisi.

Malah, jejaka itu juga cuba mengolah rekaan tersebut agar tampil segar dan unik dengan menggabungkan elemen berbilang bangsa namun masih menggunakan fabrik warisan.

Kel Wen menterjemahkan semangat seekor harimau Malaya bagi menghasilkan gaya jalanan dengan sentuhan mewah.

Dia menggabungkan pakaian tradisi kaum Cina dengan elemen pakaian kaum lain di Malaysia bagi menampilkan rekaan yang cukup berbeza.

“Kami menghasilkan sut harimau Tang Cina yang dihasilkan daripada fabrik broked warisan yang dipersembahkan bersama fabrik broked masyarakat India daripada motif berjalur.

“Ia kemudian dikemaskan dengan teknik jahitan kekek dan pesak yang lazimnya digunakan pada baju Melayu bagi mewujudkan sesuatu yang berbeza,” kata Kel Wen.

Bagi menyerlahkan sisi futuristik dan ranggi pada rekaan perayaan tradisi, rekaan Behati menggabungkan gaya tradisional dengan perincian moden daripada era fesyen ala Instagram dalam keseluruhan koleksi.

Busana jenis besar atau ‘oversized’ yang longgar serta baju jenis ‘crop-top’ dipadankan dengan seluar potongan besar dengan perincian poket motif celoreng.

Gaya utama bagi koleksi itu termasuk seluar trek berbutang Cina dalam kombinasi klasik ‘sporty’ daripada rona biru gelap dan putih.

Selain itu, Behati turut menampilkan baju pahlawan Cina, Li Bai Duanshan dengan jahitan kekek dan pesak yang dihasilkan dengan kemasan dua kolar.

Bahagian lengannya pula digulung dan dihasilkan dalam potongan besar.

Kel Wen menterjemahkan semangat seekor harimau Malaya bagi menghasilkan gaya jalanan dengan sentuhan mewah.

“Bagi tahun baharu ini, misi kami masih lagi untuk mengembangkan penggunaan fabrik warisan.

“Gaya signatur seperti busana cheongsam jenis korset dan kemeja Cuba dengan dengan perincian empat poket hadapan dan dua jalur menegak atau sulaman dihasilkan dalam lebih banyak pilihan warna dengan rekaan motif buluh yang lebih segar.

“Malah, kami juga bereksperimen dengan padanan motif yang bertentangan dalam penghasilan set qipao dengan menggunakan empat jenis fabrik broked yang berbeza lalu menjadikannya sebagai satu busana,” kata pereka muda itu.

Tanpa mengetepikan mereka yang lebih memilih gaya minimalis, Kel Wen menawarkan barisan sut Tang moden yang dihasilkan daripada fabrik kain kapas premium yang dijahit dengan perincian kekek dan pesak bagi menyerlahkan identiti Malaysia.

Salah satu gaya baharu yang ditampilkan pada rekaan tersebut adalah leher Samfu tanpa kolar yang diambil daripada gaya warisan Magua yang merupakan busana jaket tradisional pada zaman Dinasti Qing.

Tanpa kolar jenis mandarin, busana klasik itu tampil lebih kasual dan segar memandangkan fokusnya terarah kepada butang Cina yang sengaja dibuat dalam saiz besar bagi menyerlahkan estetik jenama Behati.

Rekaan Behati kini boleh didapati secara eksklusif menerusi laman web www.behati.my pada harga antara RM200 hingga RM500. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI