fbpx
Setiap sarang mempunyai sebanyak 1,735 telur secara purata, dengan kebanyakannya diawasi oleh seekor ikan dewasa. - Institut Alfred Wegener

Saintis temui koloni 60 juta ekor ikan di laut ais

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Sebuah koloni pembiakan yang mengandungi kira-kira 60 juta ekor ikan ditemui di Laut Weddell, Antartika, dengan saintis menyifatkan penemuan itu sebagai sebuah ekosistem yang unik, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Koloni dipercayai terbesar di dunia itu menempatkan ikan ais spesies Neopagetopsis ionah yang juga dinamakan ikan ais. Ikan itu mempunyai rangka dan darah yang boleh dilihat dari luar. Ikan ais adalah satu-satunya haiwan bertulang belakang yang tidak mempunyai sel darah merah.

Bagi membolehkannya kekal hidup pada suhu sejuk ekstrem, haiwan itu mengembangkan protein antibeku dalam darah lutsinarnya yang menghalang kristal ais daripada terus ‘tumbuh’.

Penemuan itu  dibuat  menggunakan kapal penyelidikan kutub dari Jerman, Polarstern, pada Februari 2021. Saintis-saintis menggunakan sebuah sistem kamera sebesar sebuah kereta untuk membuat penemuan itu.

Kamera tersebut dipasang pada buritan kapal yang menghantar imej ke atas dek ketika ia sedang ditarik.

“Kami melihat sarang pembiakan ikan yang besar selama empat jam, dan ketika itu, ia meliputi kawasan berkemungkinan seluas enam kilometer (km) dari dasar laut.

“Saya tidak pernah melihat sesuatu seumpama itu selama 15 tahun menjadi saintis maritim,” kata penyelidik dari Institut Alfred Wegener di Jerman, Autun Purser.

Menurutnya, koloni tersebut meliputi kawasan seluas 240 km persegi, dengan secara purata, terdapat satu sarang ikan bagi setiap tiga meter persegi.

Koloni itu juga dianggarkan mengandungi kira-kira 60 juta sarang aktif.

Setiap sarang yang sama jaraknya berukuran kira-kira 15 sentimeter (sm) dalam, dan 75 sm bagi diameter.

Ia mengandungi sebanyak 1,735 telur secara purata, dengan kebanyakannya diawasi oleh seekor ikan dewasa. – AGENSI 

POPULAR