fbpx
SARIMAH menunjukkan gambar kenangan Allahyarham Marsiah.

‘Perasaan direntap setiap kali banjir’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT – Setiap kali musim banjir tiba, ingatannya pasti terimbau tragedi yang menimpa arwah ibu yang menjadi mangsa korban banjir 15 tahun yang lalu.

Dalam kejadian pada pukul 11 malam, 20 Disember 2006 lalu, dia bersama arwah ibu, Marsiah Marjuni, 69, menaiki bot dalam perjalanan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Kampung Jawa selepas rumahnya di Kampung Padang Lalang dinaiki air.

Ketika itu, Sarimah Samikon, 58, dan suami, Madiwar Nazar, 59, bersama arwah Marsiah serta tiga anak yang ketika itu berusia antara 6 hingga 16 tahun dalam perjalanan ke PPS.

Sarimah berkata, bersama mereka terdapat 11 lagi mangsa banjir menaiki bot yang sama.

“Semua berlaku terlalu pantas dan hanya Tuhan sahaja yang tahu kesedihan akibat kejadian itu. Perasaan ini bagai direntap setiap kali teringat peristiwa itu,” katanya yang tidak dapat berce­rita lanjut akibat terlalu sebak.

Sarimah menunjukkan bumbung zink tempat dia sekeluarga berpaut selepas enjin bot dinaiki meletup dan karam dalam kejadian banjir
di Segamat pada 2006.

Mengimbas kembali kejadian itu, Madiwar berkata, walaupun peristiwa menimpa ibu men­tua­nya itu itu sudah lebih sedekad berlalu, mereka sekeluarga tidak pernah melupakannya.

“Kami sekeluarga terpaksa keluar melalui tingkap kediaman untuk menaiki bot penduduk kampung kerana pintu hadapan tidak dapat dibuka dari dalam akibat tolakan arus deras.

“Tiba-tiba enjin bot meletup menyebabkan bot dinaiki kami hilang kawalan dibawa arus deras serta melanggar sebatang tiang elektrik sebelum karam,” katanya.

Katanya, mereka berlindung di atas bumbung zink di sebuah warung berhampiran sementara menunggu untuk diselamatkan.

“Ketika di atas bumbung, barulah saya sedar ibu mentua tidak mampu berpaut sebelum mayatnya ditemui tidak jauh dari lokasi, dua hari kemudian.

“Ketika kejadian kami semua hanya sehelai sepinggang serta kesejukan,” kongsi Madiwar sebak.

Namun, dia sekeluarga serta penduduk kampung merasa amat terhutang budi kepada seorang anggota bomba Segamat.

“Anggota bomba itu sanggup berenang sejauh 1.5 kilometer pada pukul 3 pagi untuk mendapatkan bantuan bot penyelamat. Kami semua terhutang nyawa kepadanya dan berterima kasih kepada pelbagai agensi lain yang berkorban bagi membantu ­mangsa banjir,” kata Sarimah.

Bencana banjir pada tahun 2006 dan 2007 lalu di Johor telah mengakibatkan kerugian seba­nyak RM1.5 bilion dan mengorbankan 18 nyawa.-K! ONLINE

POPULAR

BERITA BERKAITAN