fbpx

Pengurus pasar raya dikompaun pelanggan berebut barang promosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar dalam video yang memaparkan orang ramai berebut dan bersesak membeli barangan minuman promosi di sebuah pasar raya di Sitiawan, kelmarin.

LUMUT – Polis mengeluarkan kompaun terhadap seorang pengurus sebuah pasar raya dekat sini selepas tular gambar pelanggan berebut mendapatkan barangan promosi tanpa penjarakan fizikal.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya menyiasat tentang kejadian itu susulan dua video yang dimuat naik oleh pemilik Facebook We are Malaysian.

Menurut beliau, video masing-masing berdurasi 30 dan 11 saat itu memaparkan orang ramai bersesak dan berebut bagi membeli minuman tin yang dijual murah.

“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku di sebuah pasar raya di Jalan Medan Sejahtera, Jalan Lumut, Sitiawan antara pukul 9 hingga 9.30 pagi pada Jumaat lalu.

“Polis bersama pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Manjung memanggil pihak pengurusan pasar raya untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan pada pukul 2 petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Nor Omar memberitahu, satu kompaun RM1,000 dikeluarkan terhadap pengurus pasar raya itu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal pengunjung di dalam premis di bawah Akta 342.

Pada masa sama beliau menasihatkan orang ramai agar terus mematuhi SOP yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana pandemik Covid-19 masih belum berakhir.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat pelanggaran SOP boleh menghubungi bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI