fbpx

Empat lagi aduan kacau ganggu diterima SWCorp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara rumah yang dipenuhi dengan sisa sampah dan kitar semula di Kuala Lumpur.

PUTRAJAYA – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Wilayah Persekutuan menerima empat lagi aduan kacau ganggu membabitkan pencemaran sisa sampah dan kitar semula di beberapa kawasan perumahan di Kuala Lumpur.

Ia membabitkan dua buah rumah berpenghuni dan dua buah rumah tanpa penghuni di Taman OUG, Kuchai lama.

Pengarah SWCorp Wilayah Persekutuan Ummi Kalthum Shuib berkata, pihaknya sudah turun padang bagi meninjau lokasi empat rumah berkenaan sejak dua hari lalu.

Beliau berkata, penghuni daripada sebuah rumah berkenaan sudah mula menjual sisa-sisa yang dikumpul termasuk membersihkan kawasan kediaman mereka.

“Manakala, sebuah rumah lagi akan mula dibersihkan penghuninya mulai esok. Soal siasat terhadap penghuni dua rumah ini mendapati, mereka mengaku mengumpul dan menjual sisa sampah dan kitar semula berkenaan.

“Selain itu, kami juga akan melakukan kerja-kerja pembersihan bagi dua buah rumah tanpa penghuni itu mulai Khamis ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, penghuni dari dua rumah itu juga diberi tempoh sehingga Rabu ini bagi membersihkan kawasan rumah masing-masing jika tidak mahu berdepan tindakan.

Ummi Kalthum berkata, jika gagal berbuat demikian, penghuni boleh dikompaun di bawah Seksyen 76, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2008 (Akta 672).

Menurutnya, penghuni juga boleh dihukum denda tidak kurang RM10,000 atau maksimum RM100,000 atau penjara antara enam bulan sehingga lima tahun.

“Kami berharap masyarakat bersama-sama membantu menjaga kebersihan di kawasan masing-masing bagi memberikan keselesaan kepada semua penduduk,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI