fbpx

Harga makanan dunia melonjak pada 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Indeks harga makanan mencatat kenaikan tertinggi dalam tempoh satu dekad pada 2021. - AFP

GENEVA – Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) menyatakan pada minggu ini bahawa harga makanan mencecah paras tertinggi dalam tempoh 10 tahun pada 2021, meningkat pada kadar 28 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor portal berita Wion News

Indeks Harga Makanan FAO, yang mengukur perubahan bulanan harga antarabangsa  untuk komoditi makanan yang biasa diperdagangkan, menurun sedikit pada Disember 2021. 

Bagaimanapun, indeks berkenaan berada pada paras 125.7 mata bagi pengiraan keseluruhan 2021 iaitu angka tertinggi dalam tempoh satu dekad.

“Kos pengeluaran tinggi, pandemik global yang berterusan, malah persekitaran iklim tidak menentu,  memalapkan harapan untuk pasaran kembali lebih stabil walaupun dalam tahun 2022,” kata pakar ekonomi kanan FAO, Abdolreza Abbassian dalam satu kenyataan.

“Permintaan yang tinggi mendorong harga semua kategori makan meningkat pada tahun lalu,” katanya.

Sepanjang tahun lalu juga, Indeks Harga Minyak mencatat rekod tertinggi, meningkat 65.8 peratus berbanding pada 2020.

Secara keseluruhan, Indeks Harga Gula melonjak 29.8 peratus sekali gus mencecah paras tertinggi sejak 2016.

Pada Disember 2021, Indek Harga Daging ‘secara amnya stabil’ tetapi mencatat kenaikan sebanyak 12.7 peratus sepanjang  tahun lalu, manakala Indeks Harga Tenusu meningkat sebanyak 16.9 peratus berbanding pada 2020.

Sebagai tambahan, Indeks Harga Bijirin susut 0.6 peratus untuk Disember 2021, namun melonjak  27.2 peratus sepanjang tahun lalu, menjadikannya angka kenaikan  tertinggi sejak  2012. 

Antara komoditi makanan yang mencatat kenaikan tertinggi ialah jagung dan gandum,  masing-masing melonjak 44.1 peratus dan 31.3 peratus. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI