fbpx

79 rakyat Malaysia di Kazakhstan disahkan selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedutaan Besar Malaysia di Nur-Sultan sedang memantau rapi keselamatan warga Malaysia di seluruh Kazakhstan. – FOTO: IHSAN WISMA PUTRA

PUTRAJAYA – Kementerian Luar hari ini mengesahkan kesemua 79 rakyat Malaysia yang berada di Kazakhstan masih lagi berada dalam keadaan selamat pada ketika ini.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan berkata, berdasarkan rekod Kedutaan Besar Malaysia di ibu negaranya, Nur-Sultan, rakyat Malaysia itu turut disahkan telah berdaftar dengan pejabat perwakilan diplomatik negara tersebut.

“Mereka terdiri daripada staf diplomat dan tanggungan selain kalangan petugas agensi Matrade dan Tourism Malaysia yang berpejabat di Almaty,” kata kenyataan itu hari ini.

Konflik di Kazakhstan meletus pada 2 Januari lalu apabila rakyat negara terbesar di rantau Asia Tengah itu melancarkan siri bantahan ke atas kenaikan harga bahan bakar domestik.

Protes penduduk awam bermula di bandar kaya petroleum, Zhanaozen sebelum merebak pula ke seluruh negara terutama di kota raya terbesar dan bekas ibu negaranya, Almaty.

Susulan itu, Presiden Kassym-Jomart Tokayev mengistiharkan darurat, manakala Perdana Menteri, Askar Uzaqpayevich Mamin dan seluruh jemaah Kabinet turut meletak jawatan.

Pertempuran antara perusuh dan pasukan keselamatan juga mengakibatkan 26 orang awam maut, lebih 1,000 lagi cedera dan sejumlah 3,700 penunjuk perasaan ditahan pihak polis.

Seramai 18 anggota pengawal nasional terbunuh manakala 748 lagi cedera yang memaksa kerajaan Kazakhstan memohon bantuan tentera Rusia dan jirannya bagi mengawal situasi.

Mengulas lanjut, Wisma Putra dalam kenyataan tersebut memberi jaminan bahawa pihaknya sentiasa memantau rapi segala perkembangan terkini di pelbagai wilayah di Kazakhstan.

“Pihak kedutaan turut mengeluarkan nasihat perjalanan kepada semua rakyat Malaysia agar mengutamakan keselamatan dan menjauhi lokasi tumpuan protes penduduk,” jelasnya.

Rakyat Malaysia juga diminta supaya mematuhi segala arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan negara berkenaan untuk mengelak insiden tidak diingini daripada berlaku.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular di Kazakhstan boleh menghubungi kedutaan di Nur-Sultan menerusi talian +7(7172)790690 dan +7(7011)010233 selepas waktu pejabat atau menerusi e-mel di [email protected]. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI