fbpx

Pengubat luka, kecewa Khai Bahar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONSERT Nafas Cinta Khai Bahar dianggap sebagai pengubat kekecewaan peminat selepas konsert sebenar yang sepatutnya dibuat di Istana Budaya pada tahun lalu terpaksa dibatalkan.

SELEPAS impian untuk mengadakan konsert sulung terpaksa ditunda lebih setahun, penyanyi Khai Bahar akhirnya menarik nafas lega apabila impian yang pernah ‘terkubur’ itu akhirnya bakal direalisasikan menjelang Februari nanti.

Pada Mac tahun lalu, Khai terpaksa reda apabila konsert yang dinanti-nantikan bukan sahaja dirinya, bahkan peminat terpaksa ditunda pada saat akhir selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara.

Sekatan tersebut sekali gus melarang segala bentuk aktiviti persembahan dan konsert tidak dibenarkan dibuat sepanjang tempoh PKP.

Berita pembatalan konsert yang sepatutnya diadakan di Istana Budaya itu sedikit sebanyak mengundang kesedihan penyanyi yang mencipta nama menerusi aplikasi Smule itu.

Apatah lagi, kebanyakan peminat sudah teruja untuk menyaksikan artis kesayangan mereka beraksi di sebuah pentas berskala antarabangsa.

Namun, kekecewaan tersebut bakal terubat apabila Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 27, bakal menjayakan konsert Nafas Cinta Khai Bahar pada 12 Februari nanti.

Konsert anjuran syarikat Nova Music tersebut bakal diadakan di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJ PAC), 1 Utama Shopping Centre, Bandar Utama.
Khai yang popular menerusi lagu Bayang, Dari Jauh Saja dan Luluh itu berkata, dia teruja dan terharu apabila pihak Nova Music memilih dirinya untuk menjayakan konsert tersebut.

“Apabila saya mendapat tawaran mengadakan konsert tahun lalu, bagi saya itu adalah satu peluang keemasan. Namun, perancangan Allah SWT itu lebih baik.

“Saya menganggap belum ada rezeki apabila konsert tersebut terpaksa dibatalkan atas faktor tertentu dan selepas berbincang dengan semua pihak biarpun ketika itu sudah banyak persiapan dilakukan. Apa pun saya memandang daripada sudut positif,” ujarnya.

Khai bagaimanapun bersyukur apabila sekali lagi mendapat tawaran daripada pihak Nova Music yang mahu menganjurkan konsertnya.

“Kata orang, besar tapak tangan nyiru saya tadahkan. Pelawaan itu saya anggap sebagai rezeki buat saya. Selepas membuat perbincangan, pasukan saya bersetuju untuk membuat konsert Nafas Cinta Khai Bahar ini,” katanya.

Pemenang tiga kali kategori Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular itu juga menyifatkan penganjuran konsert berkenaan sebagai mengubat kerinduan dan kekecewaan peminatnya.

“Ramai sedih dan kecewa apabila konsert yang sepatutnya berlangsung di Istana Budaya dibatalkan. Saya pun tidak tahu nak memberi reaksi macam mana, sebab saya sendiri juga sedih.

“Macam yang telah dikatakan, saya anggap belum rezeki.

“Namun, kehadiran konsert Nafas Cinta Khai Bahar ini saya harap dapat mengubat kesedihan mereka. Saya bersama pasukan dan penganjur akan cuba memberikan yang terbaik.

“Biarpun lokasi persembahan tidak dapat memuatkan jumlah yang ramai, sekurang-kurangnya impian dan hasrat saya serta peminat untuk menjayakan satu persembahan pada skala besar tercapai.

“Tipulah jika dalam kerjaya seorang penyanyi dia tidak mengimpikan sesuatu yang besar dalam karier seni.

“Begitu juga saya yang mana mengadakan konsert ini satu daripada cita-cita yang belum tercapai. Jadi, doakan semoga segala perancangan menuju konsert ini dipermudahkan Allah,” katanya.

Sementara itu, penerbit dan penganjur konsert, Rosmin Hashim berkata, pemilihan Khai bertepatan memandangkan penyanyi itu mempunyai kekuatan dari segi pengaruh peminat luar biasa selain banyak menjalin kerjasama dengan syarikat rakaman Nova Music dan Seventeen Eleven Music.

“Kenapa Khai? Ini kerana dia antara penyanyi muda yang banyak lagu hits dan berjaya selain mempunyai peminat yang ramai.

“Kalau kita sebut nama Khai Bahar, memang cukup dikenali. Dia mempunyai kelompok peminat dari semua golongan dan peringkat umur. Selain itu, dia antara penyanyi yang bersih dari sebarang kontroversi,” katanya.

Ditanya, adakah penganjuran konsert Nafas Cinta Khai Bahar disebabkan pembatalan konsert Khai terdahulu, Rosmin berkata, perkara tersebut berlaku secara kebetulan.

“Perancangan buat konsert ini pun secara kebetulan dibuat pada Oktober lalu. Selepas kami berjumpa dan berbincang dengan pasukan Khai, alhamdulillah, mereka terima pelawaan kami,” katanya.

Konsert Nafas Cinta Khai Bahar bakal diadakan secara fizikal dan virtual. Ini membolehkan bukan sahaja peminat Khai Bahar dari Klang Valley untuk menonton konsert, malah peminat beliau dari seluruh Malaysia dan rantau Asia.

Selain Khai, konsert berkenaan turut menampilkan pemilik vokal berhantu, Aina Abdul dan Ratu Soundtrack, Adira Suhaimi sebagai penyanyi jemputan.

Tiket tontonan konsert secara fizikal yang dijual pada harga RM189.90 boleh dibeli bermula 31 Disember lalu menerusi ONETIX dengan melayari onetix.com.my/.

Tiket konsert secara virtual pula yang dijual pada harga RM69.90 hingga RM89.90 boleh dibeli pada hari yang sama dengan melayari www.cloudtheatre.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI